Seorang pengguna membuat semakan kelayakan subsidi petrol RON95 melalui inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang dilancarkan Kementerian Kewangan untuk mengesahkan kelayakan mendapatkan BUDI95 di stesen minyak di sekitar Batu Caves, Selangor. Foto Hari Anggara, 26 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta memastikan butiran pada MyKad dan lesen memandu adalah tepat bagi memastikan kelayakan untuk menikmati sistem subsidi bersasar BUDI Madani RON95 (BUDI95) tidak terjejas.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, berdasarkan analisis olehnya dan Kementerian Pengangkutan (MoT), terdapat sebahagian data lesen memandu yang masih menggunakan nombor lama (seperti nombor polis, nombor tentera, atau nombor IC lama) dan tidak sepadan dengan format MyKad 12 digit.

“Justeru, rakyat yang layak diminta menyemak maklumat pada lesen memandu masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain memastikan lesen masih sah, pengguna perlu memastikan:
1. Nombor MyKad 12 digit digunakan dan direkod dengan betul dalam lesen memandu;
2. Nama pemegang lesen adalah tepat;
3. Kelas dan jenis kenderaan dinyatakan dengan betul.

Penyelarasan ini diperlukan kerana butiran di lesen memandu akan disemak silang dengan maklumat dalam MyKad, yang merupakan dokumen dibaca oleh terminal pembayaran di stesen minyak untuk pengesahan kelayakan.

MOF menambah, sekiranya terdapat sebarang ketidakselarasan, sila hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengemas kini maklumat lesen memandu.

“MOF dan MoT akan menyegerakan penyelarasan data secara mingguan bagi memastikan rakyat dapat menikmati harga bersubsidi BUDI95,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, dari segi pelaksanaan, sistem BUDI95 kekal stabil pada hari kedua (28 September 2025) apabila ia dibuka kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan lesen memandu aktif.

Hampir 500,000 daripada keseluruhan 6.1 juta penerima STR, bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, telah melakukan transaksi BUDI95 di stesen minyak di seluruh negara.

Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak RM22.9 juta pembelian telah direkodkan bagi 11.5 juta liter petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, dengan pengesahan MyKad di stesen minyak berjalan lancar.

“MOF merakamkan penghargaan kepada semua penerima STR yang telah memanfaatkan BUDI95. Sistem ini akan diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif bermula 30 September 2025.

“Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September 2025, seramai 8.6 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan mereka untuk memanfaatkan subsidi RON95,” ujarnya.

Menurut MOF, Portal BUDI95 kini juga dilengkapi dengan ciri semakan sejarah transaksi BUDI95. Untuk mengakses ciri ini, pengguna perlu mendaftar dan log masuk ke portal BUDI95 dengan menggunakan MyDigital ID.

MyDigital ID digunakan sebagai langkah keselamatan bagi memelihara identiti digital serta maklumat peribadi rakyat dalam aplikasi kerajaan.

Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast