KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai transporter sindiket dadah ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam pengedaran cecair MDMA yang dijual pada harga RM450 sebotol.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, penahanan kedua-dua suspek berusia 30 dan 32 tahun itu dilakukan dalam serbuan di sebuah apartmen di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, pada jam 10.20 malam 25 September lalu.

“Hasil pemeriksaan di dalam apartmen tersebut, polis berjaya merampas 503 botol mengandungi cecair disyaki dadah jenis MDMA seberat 239.50 kilogram, 298 gram serbuk MDMA, 20 gram eramin 5 dan 19.6 gram ketamin.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM251,000 dengan jumlah keseluruhan dadah itu boleh digunakan seramai 3,631 orang,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai mula bergiat aktif sejak awal tahun ini dan memperoleh upah RM100 bagi setiap penghantaran.

Bagaimanapun, dalang utama sindiket masih bebas dan sedang diburu polis.

“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif ketamin, malah seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” ujarnya.

Selain itu, polis turut menyita dua buah kenderaan bernilai RM50,000 serta wang tunai sebanyak RM140 yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengendalian sindiket.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan adalah sebanyak RM301,160.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

“Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” ujarnya.

Suspek berusia 30 tahun akan direman sehingga 30 September manakala suspek berusia 32 tahun akan direman sehingga 2 Oktober depan bagi membantu siasatan.

Pihaknya juga akan terus komited memburu saki-baki ahli sindiket yang masih bebas untuk membanteras musuh nombor satu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast