Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan mana-mana pihak yang melaporkan sebarang perlakuan buli menerusi talian khas dalam talian Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan dirahsiakan identitinya dan dilindungi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, bahkan kritikan dan maklum balas mengenai tribunal anti buli juga akan dirahsiakan.

“Kalau ada aduan dalam talian itu, memang kita akan sentiasa pastikan apa sahaja aduan yang datang adalah rahsia. Sama macam sekarang, kita ada aduan dalam talian di segi pandangan. Orang ramai boleh masuk laman web kita untuk beri komen, kritikan dan apa sahaja.

“Bila ada aduan, sudah tentu kita akan pastikan anda dilindungi, tetapi apabila anda pergi untuk pendengaran ia bergantung kepada sejauh mana,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Town Hall Antibuli bertajuk Generasi Tanpa Buli Peringkat Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Premiera Hotel.

Kata Azalina lagi, Tribunal Anti Buli yang akan dibentangkan ke Parlimen hujung tahun ini bukan sahaja mempunyai kuasa kehakiman bahkan segala ketidakpuasan hati dan aduan mengenai isu buli akan menjadi rahsia.

“Jadi biarlah tribunal iaitu kuasa kehakiman untuk memberitahu orang ramai di luar sana, ada sistem yang akan mengambil ketidakpuasan hati atau aduan langsung, tetapi sudah tentu semuanya adalah sulit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast