JOHOR BAHRU – Johor akan terus muncul sebagai destinasi pilihan utama pelabur antarabangsa serta hab teknologi serantau.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan syarikat-syarikat global yang telah dan bakal melabur di Johor terutama dari Amerika Syarikat (AS).
Beliau yang mengetuai lawatan kerja ke AS semalam berkata, pihaknya bertemu dengan beberapa wakil syarikat bertaraf antarabangsa yang berminat untuk melabur antaranya:-
1. Super Micro Computer Inc – syarikat gergasi teknologi global dari Silicon Valley yang membuka hab operasi Asia di Senai Airport City, termasuk pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta inovasi bertaraf dunia.
2. Brooks Automation Inc – peneraju global automasi semikonduktor yang melabur RM100 juta di Pasir Gudang, mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi serta melibatkan vendor tempatan dalam rantaian bekalan.
3. Pivotal Systems Corporation – pembekal utama teknologi kawalan aliran gas untuk industri semikonduktor yang merancang penubuhan pusat R&D serantau serta automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI)
4. Keysight Technologies – peneraju global dalam penyelesaian reka bentuk dan ujian elektronik yang sedang meneroka peluang pelaburan melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
5. OpenAI Inc – peneraju AI dunia yang membincangkan kerjasama strategik dalam penerapan AI bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kerajaan dan produktiviti ekonomi negeri.
6. Bruker Corporation – syarikat analisis saintifik dan diagnostik global yang berminat mengembangkan operasi ke Johor
“Pertemuan bersama syarikat-syarikat ini amat penting kerana ia mengukuhkan kedudukan Johor dalam sektor semikonduktor, AI, teknologi hijau, penyelidikan saintifik dan inovasi digital.
“Kesemua pelaburan ini bukan sahaja bernilai tinggi, tetapi turut membuka peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi, serta peluang kerjasama untuk PKS tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berharap segala usaha itu memberi limpahan manfaat ekonomi secara langsung kepada rakyat negeri ini, seterusnya merealisasikan hasrat Johor menjadi negeri maju menjelang 2030.- MalaysiaGazette
















