Alias (kiri) dan Mohd Hasnolhadi (dua kiri) menyerahkan petisyen bantahan kepada Khairul Hafiz di Pejabat MDKT, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Satu petisyen bantahan pengu, bahsuaian dan binaan baharu Menara Jam Kota Tinggi, di bandar ini diserahkan kepada pihak Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), hari ini.

Petisyen itu yang ditandingi orang ramai diserahkan oleh wakil komuniti, Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas dan Alias Rasman kepada Yang Dipertua MDKT, Khairul Hafiz Mohamad Mazlan di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurut Alias, bantahan itu dibuat kerana berpendapat binaan baharu Menara Jam tersebut sudah tidak menampilkan identiti warisan daerah ini.

“Menara jam lama merupakan mercu tanda bersejarah Kota Tinggi, namun pengubahsuaian baharu ini telah lari daripada imej Kota Tinggi sebagai daerah bersejarah. Reka bentuk moden yang diterapkan tidak sesuai dan tidak serasi dengan identiti tempatan.

“Kualiti reka bentuk yang tidak serasi dan kurang menarik hasil binaan baharu gagal menonjolkan ciri moden yang kemas.

“Sebaliknya, ia menggunakan bahan dan reka bentuk yang menjadikan penampilannya lebih buruk berbanding binaan lama sedangkan menara jam asal lebih tepat, sesuai dan mempunyai nilai sentimental bagi warga tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Khairul Hafiz.

Sehubungan itu, Alias berkata, pihaknya menuntut MDKT menyemak semula reka bentuk baharu menara jam tersebut dengan mengambil kira pandangan penduduk di daerah ini.

Selain itu katanya, wajar mengembalikan semula binaan lama atau memastikan sebarang reka bentuk baharu benar-benar selari dengan identiti tempatan serta nilai sejarah daerah.

“Juga mengadakan sesi libat urus bersama-sama masyarakat Kota Tinggi sebelum apa-apa keputusan berkaitan mercu tanda utama daerah dibuat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast