Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berucap pada Perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di Gombak, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 29 SEPTEMBER 2025.

GOMBAK – Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini bakal menjadi hab utama pengangkutan awam ke Pantai Timur selepas Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, terminal moden itu sudah mula beroperasi sejak April lalu namun, penggunaannya masih rendah kerana kerajaan belum mewajibkan bas ekspres ke Pantai Timur beroperasi dari situ.

“Kita akan melihat semula perancangan dan memastikan bas-bas ekspres, terutamanya ke arah Pantai Timur, bermula atau tiba di terminal ini. Harapan kita terminal ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, kelebihan TBG adalah lokasinya yang strategik dengan integrasi bersama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang terletak bersebelahan terminal berkenaan.

“Ia akan dihubungkan dengan eskalator dan walkalator supaya pengguna mendapat kemudahan lebih selesa, lancar dan selamat. Terminal ini juga bakal diintegrasikan dengan LRT,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian itu.

Anthony berkata, pembangunan sekitar kawasan TBG turut dirancang dengan pembinaan kediaman, komersial serta pelbagai kemudahan lain oleh pihak pengendali terminal berkenaan.

“Konsep pembangunan ini kita amat galakkan. Kalau orang beli rumah atau duduk di kawasan ini, mereka mudah akses kepada pengangkutan awam, jabatan kerajaan, kesihatan dan pendidikan. Inilah model pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang akan diperbanyakkan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, terminal itu juga mempunyai ruang niaga dan komersial selain kawasan yang boleh dimanfaatkan agensi kerajaan bagi memudahkan urusan orang ramai.

“Seperti konsep UTC sebelum ini, terminal boleh menawarkan perkhidmatan agensi penting seperti Jabatan Imigresen untuk urusan pasport, Jabatan Pendaftaran Negara untuk MyKad serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kalau agensi kerajaan ditempatkan di sini, ia akan mudahkan orang ramai. Mereka boleh datang dengan LRT, berurusan dalam kawasan selesa tanpa perlu susah payah cari parkir,” katanya.

Anthony berkata, perbincangan lanjut bersama pihak konsesi serta agensi kerajaan akan diadakan bagi merealisasikan cadangan itu.

“Projek ini dibangunkan menerusi kerjasama awam-swasta (PPP) dengan konsesi 25 tahun. Kos pembangunan ditanggung pihak swasta, dan mereka menyewakan ruang niaga kepada peniaga.

“Namun, kedai-kedai di sini masih hadapi cabaran kerana pelanggan belum ramai. Sebab itu kita mahu tarik lebih banyak penumpang dan orang awam menggunakan terminal ini,” katanya.

Menurutnya, dengan pelaksanaan strategi integrasi dan penyertaan agensi kerajaan, TBG akan menjadi pusat tumpuan bukan sahaja untuk penumpang bas, tetapi juga untuk urusan harian masyarakat setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast