KUALA LUMPUR – Pas mempersoalkan sikap membisu pemimpin UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah) berhubung kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke negara ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat kini sedang menunggu pendirian UMNO dan Amanah memandangkan parti itu sebelum ini pernah mengakui mereka berprinsip dan tegas, bukan sekadar parti yang hanya menurut perintah (‘yes man’).
Malah, tambah beliau, sejarah mencatatkan bahawa Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu merupakan antara tokoh yang lantang menentang pencerobohan dan penindasan Israel serta mengecam sikap AS di Asia Barat.
“Di manakah pendirian tegas Amanah terhadap isu Palestin hari ini?
“Mengapa mereka terus membisu terhadap tindakan Perdana Menteri (PMX) (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjemput Donald Trump ke Malaysia sebagai tetamu kehormat, sedangkan tangannya masih berlumuran darah rakyat Palestin?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya turut mengharapkan suara ketegasan daripada UMNO berhubung kehadiran Trump tersebut.
Menurutnya, sebagai parti komponen yang menyokong kepimpinan Anwar dalam kerajaan, sikap berdiam diri hanya akan dilihat sebagai tanda persetujuan terhadap kedatangan Trump ke negara ini.
“Ketika dunia sedang mengutuk kekejaman Israel dengan sokongan Amerika Syarikat, sikap membisu ini amat mengecewakan dan pasti melukakan hati umat Islam di negara ini yang bersolidariti bersama saudara mereka di Palestin,” katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan sama ada Malaysia sanggup berdiam diri hanya kerana alasan ekonomi, sedangkan mempunyai pilihan lain.
“Ketika saudara-saudara kita di Palestin terus dizalimi tanpa belas ihsan oleh Israel yang disokong Amerika Syarikat, menjemput Donald Trump untuk hadir ke Persidangan ASEAN bukanlah suatu keutamaan,” katanya.
Anwar sebelum ini mengumumkan Trump sudah mengesahkan kehadirannya pada sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara yang dijadual berlangsung hujung bulan depan. – MalaysiaGazette
















