KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan dua perkhidmatan ETS baharu bagi sektor Kluang – KL Sentral – Kluang yang akan beroperasi pada setiap hujung minggu bermula 10 Oktober 2025.
Penambahan perkhidmatan itu menyediakan 315 tempat duduk bagi setiap tren termasuk koc Kelas Perniagaan dan akan beroperasi khusus pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Katanya, tren yang berlepas dari Kluang jam 9.33 pagi dijangka tiba di KL Sentral pada jam 1 petang.
Manakala tren berlepas dari KL Sentral jam 5.35 petang akan tiba di Kluang jam 9.08 malam.
Tiket untuk perkhidmatan baharu hujung minggu itu boleh didapati melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios, atau laman sesawang rasmi KTMB bermula esok, 1 Oktober, jam 10.00 pagi.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja melengkapi jadual harian sedia ada, malah memberi kemudahan besar kepada penduduk di Kluang untuk ke Kuala Lumpur dengan lebih cepat, selesa dan tanpa perlu berdepan kesesakan trafik hujung minggu.
“Dengan perjalanan ETS yang singkat, pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk merancang urusan kerja, pertemuan mahupun bercuti bersama keluarga ke ibu negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut KTMB, perkhidmatan ETS di sektor KL Sentral – Kluang mula beroperasi secara harian pada 30 Ogos lalu mencatatkan sambutan menggalakkan.
Sehingga 28 September 2025, seramai 4,461 penumpang telah menggunakan perkhidmatan pada hari bekerja (Isnin hingga Khamis), manakala 6,412 penumpang pada hujung minggu (Jumaat hingga Ahad), menjadikan jumlah keseluruhan 10,873 penumpang. -MalaysiaGazette
















