Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar melakukan gimik pecah tanah pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Hospital Pakar Patuh Syariah Bercirikan Wakaf di Semenyih, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 SEPTEMBER 2025

SEMENYIH – Hospital Pakar Semenyih  bakal dibangunkan bukan sekadar sebuah fasiliti kesihatan moden berteknologi tinggi namun sebagai hospital pakar pertama di Malaysia yang berteraskan prinsip patuh syariah dan wakaf.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, hospital itu akan beroperasi dengan mematuhi undang-undang dan etika komersial Islam dan distrukturkan secara asasnya mengikut konsep wakaf untuk kelestarian dan misi sosialnya.

Menurut beliau, ia menggabungkan dua konsep iaitu kepatuhan syariah menerusi cara operasi harian, etika dan urus niaga kewangan selain model berasaskan wakaf di mana aset asas dan struktur kewangan hospital itu sendiri.

“Selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani, kerajaan berhasrat menjadikan wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi negara dengan sasaran menyumbang 10 peratus kepada sektor kewangan sosial Islam menjelang tahun 2030.

“Justeru, hospital ini adalah bukti nyata bagaimana instrumen wakaf boleh digerakkan dalam sektor kesihatan. Ia memberi manfaat besar kepada masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan berkualiti di samping menjana hasil yang mampan untuk institusi wakaf negeri.

“Model seperti ini sebenarnya boleh diperluas ke seluruh negara bukan sahaja dalam sektor kesihatan, malah dalam pendidikan, perumahan, dan pembangunan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Hospital Pakar Semenyih Patuh Syariah & Bercirikan Wakaf di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Hospital Pakar Patuh Syariah Bercirikan Wakaf di Semenyih, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 SEPTEMBER 2025

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Dr. Ridzwan Bakar.

Hospital Pakar Semenyih akan dibangunkan di atas tanah seluas 2.6 ekar dengan keluasan binaan 783,566 kaki persegi termasuk kemudahan parkir oleh Highfield Healthcare Sdn. Bhd.

Ia bakal menyediakan 261 katil dengan pelbagai kepakaran perubatan multidisciplinary specialist yang dikendalikan oleh operator hospital berpengalaman An-Nur Healthcare Sdn Bhd dan dijangka siap pada tahun 2028.

Mengulas lanjut, Fadillah memberitahu, pembangunan Hospital Pakar Semenyih  bukan sahaja menggambarkan keprihatinan terhadap aspek kesihatan fizikal tetapi juga manifestasi ibadah umum demi kesejahteraan ummah.

Katanya, dalam Islam, ibadah umum seperti membina hospital, menyantuni pesakit, memberi khidmat kepada masyarakat dan menjaga alam sekitar di mana semuanya termasuk dalam amal soleh yang diberi ganjaran pahala jika dilakukan dengan ikhlas.

Menerusi konteks ini, ujar beliau,  wakaf bukan sekadar instrumen ekonomi, tetapi juga amalan ibadah yang menghubungkan manusia dengan tuhan.

“Ia mencerminkan semangat ihsan dan tanggungjawab sosial di mana harta yang diwakafkan terus memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat walaupun setelah pewakafnya tiada dan inilah keindahan ajaran Islam yang melihat pembangunan fizikal seperti hospital ini sebagai sebahagian daripada ibadah berterusan.

“Saya juga difahamkan bahawa Hospital Pakar Semenyih ini berhasrat untuk menjadi pintu gerbang perubatan di wilayah selatan Southern Medical Gateway dengan memberikan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi serta meningkatkan aksesibiliti kepada sebahagian besar penduduk di negeri-negeri selatan.

“Harapan saya supaya pihak pemaju akan turut mengambil inisiatif menerapkan elemen-elemen teknologi hijau dalam pembangunan Hospital Pakar Semenyih selaras dengan Pelan Hala tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ke arah mencapai sasaran Net-Zero Greenhouse Gas (GHG) Emmisions menjelang tahun 2050,” katanya. – MalaysiaGazette

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar melihat hologram bangunan Hospital Pakar Semenyih pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Hospital Pakar Patuh Syariah Bercirikan Wakaf di Semenyih, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 SEPTEMBER 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast