KUALA LUMPUR — Jangka hayat bayi yang lahir pada 2025 diunjur mencecah purata 75.3 tahun, dengan bayi perempuan hidup lebih lama iaitu 77.9 tahun berbanding lelaki 73.1 tahun.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Selangor merekodkan jangka hayat tertinggi bagi lelaki dan wanita untuk tempoh 2023 hingga 2025, manakala Terengganu terendah.
Empat negeri yang mencatatkan jangkaan hayat melebihi paras nasional pada 2025 ialah Selangor, Kuala Lumpur,Labuan dan Sarawak.
Beliau berkata, Samarahan, Sarawak mencatatkan jangka hayat tertinggi sehingga 80.9 tahun pada 2025, manakala terendah di Kanowit, Sarawak (66.5 tahun).
Sementara itu, jangkaan hayat terendah dicatatkan di Kecil Lojing, Kelantan pada 2023 (63.6 tahun), Kuala Penyu, Sabah pada 2024 (66.5 tahun), dan Kanowit, Sarawak pada 2025 (66.5 tahun).
Mengikut jantina, jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dicatatkan di Kinabatangan, Sabah (79.8 tahun), manakala bagi wanita di Telupid, Sabah (82.8 tahun).
Data turut menunjukkan, bagi tempoh 2015 hingga 2019, jangkaan hayat ketika lahir meningkat sebanyak 0.2 tahun. Jangkaan hayat lelaki kekal pada 72.5 tahun, manakala wanita meningkat 0.3 tahun. Namun, pada 2020 hingga 2022, jangkaan hayat menurun sebanyak 0.9 tahun, dengan lelaki menurun 1.0 tahun dan wanita 0.8 tahun, akibat lebihan kematian semasa pandemik COVID-19.
Bagi tempoh 2023 hingga 2025, jangkaan hayat meningkat semula sebanyak 1.3 tahun, selaras dengan penurunan jumlah kematian berbanding 2020 hingga 2022.
Pada 2025, lelaki berusia 15 tahun dijangka hidup selama 58.8 tahun lagi (sehingga 73.8 tahun), manakala lelaki berusia 60 tahun dijangka hidup 18.8 tahun lagi (sehingga 78.8 tahun).
Sebaliknya, wanita berusia 15 tahun dijangka hidup 63.6 tahun lagi (sehingga 78.6 tahun), manakala wanita berusia 60 tahun dijangka hidup 21.6 tahun lagi (sehingga 81.6 tahun).
Dari segi etnik, etnik Cina dijangka mencatatkan jangkaan hayat tertinggi pada 2025 (77.3 tahun), manakala India mencatatkan jangkaan hayat terendah (71.8 tahun).
Di peringkat negeri, jangkaan hayat etnik Melayu dan Cina tertinggi direkodkan di Selangor pada tahun yang sama.
Secara keseluruhan, 30 daripada 156 daerah melepasi paras nasional.
Menurutnya, jangka hayat menurun 0.9 tahun antara 2020 hingga 2022 akibat lebihan kematian semasa Covid-19, namun meningkat semula 1.3 tahun bagi 2023 hingga 2025. – MalaysiaGazette















