KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail mengakhiri perkhidmatan beliau hari ini sebelum bersara wajib mulai 1 Oktober 2025.
Setelah 34 tahun mengabdikan diri di dalam dunia pendidikan, anak jati dari Taiping, Perak ini memulakan tugas sebagai guru pada tahun 1991 di salah sebuah sekolah menengah di Sarawak dan berpindah ke sekolah teknik di Pulau Pinang.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) berkata, selepas menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di University of Hull, United Kingdom, Mohd Zahari diberi peluang untuk memegang beberapa jawatan penting di beberapa politeknik seperti Politeknik Balik Pulau (PBU), sebelum dilantik sebagai Pengarah di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).
Pada 16 November 2022, beliau telah diberikan kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menerajui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sebagai Ketua Pengarah sehingga ke hari ini.
Mohd Zahari memperoleh pelbagai kejayaan telah dilakar sepanjang beliau memegang jawatan tersebut antaranya pelan Transformasi Politeknik 2.0 yang dilancarkan pada tahun 2023 oleh timbalan perdana menteri.
Pelbagai inisiatif dibawa menerusi pelan tersebut seperti penstrukturan semula organisasi, penawaran program Asasi Teknologi Kejuruteraan (dahulunya dikenali sebagai Asasi TVET), membangun pusat berteknologi tinggi, menjadikan Politeknik Ungku Omar sebagai Politeknik APEX dan banyak lagi di bawah Transformasi Politeknik 2023-2030.
Menerusi pendekatan 4K yang telah diperkenalkan beliau iaitu Kebajikan, Kerohanian, Keberkatan dan Kesihatan, JPPKK telah berjaya menubuhkan Pertubuhan Muafakat Ibu Pejabat Politeknik dan Kolej Komuniti sebagai usaha awal ke arah penubuhan Yayasan POLYCC.
Pertubuhan tersebut berperanan dalam memelihara kebajikan kepada warga POLYCC termasuk pensyarah, pelajar dan staf sokongan.
Hasil daripada sumbangan dana pelbagai pihak, Pertubuhan Muafakat telah melunaskan tanggungjawabnya menerusi penyaluran bantuan kepada warga yang memerlukan dan menghadapi kesukaran.
Pelbagai lagi kejayaan telah dicipta di bawah kepimpinan beliau yang penuh dengan integriti, mengispirasi dengan visi dan berkhidmat dengan sepenuh jiwa bersama-sama dengan pasukan di JPPKK.
POLYCC menzahirkan penghargaan dan terima kasih buat Mohd Zahari Ismail atas legasi, kepimpinan dan jasa yang tidak ternilai. – MalaysiaGzette















