KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kejadian tular sebuah lori treler merempuh kereta yang sedang diparkir di tepi Jalan Hospital Sungai Buloh, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian berlaku ketika pemandu treler berkenaan cuba membuat pusingan- U selepas menyedari dia sudah tersilap jalan.

“Siasatan awal mendapati pemandu treler tersebut datang dari Klang dan dalam perjalanan ke sebuah kilang di Sungai Buloh sebelum tersilap masuk jalan.

“Pemandu berkenaan cuba membuat pusingan-U dan ketika mengundur, treler terbabit melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang diparkir di bahu kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Hafiz, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Pemandu treler dan pemilik kenderaan juga katanya, sudah hadir untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, semalam.

Tambah beliau, kejadian disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan jika sabit kesalahan.

“Polis menasihati orang ramai agar berhati-hati dan mematuhi papan tanda isyarat lalu lintas bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Sungai Buloh, Sarjan Azizul Azrin Bahro di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222 bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 1 minit 32 saat yang memaparkan sebuah treler cuba membuat pusingan-U sebelum mengundur dan melanggar kereta yang diparkir di tepi jalan.

Kejadian yang dirakam menerusi papan pemuka sebuah kenderaan itu memaparkan kemalangan berlaku jam 3.22 petang. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast