Dr. Sahruddin Jamal

JOHOR BAHRU –Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan wajar dihadap kepada Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan pendedahan siasatan forensik video babitkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, parti itu sebagai organisasi politik berteraskan prinsip ketertiban dan tataetika tidak boleh memandang ringan sebarang pelanggaran disiplin atau tindakan yang menjejaskan imej parti.

“Lembaga Disiplin hendaklah mengambil langkah sewajarnya tanpa lengah agar keyakinan ahli dan rakyat terhadap ketegasan serta kewibawaan parti terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menegaskan, akuan bersumpah (SD) yang dikumpulkan membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan untuk mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden.

Sebaliknya kata beliau, dokumen berkenaan hanya untuk menyokong ahli MPT memberi mandat kepada Muhyiddin menyusun pelan peralihan parti.

Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.

Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mengulas lanjut, Sahruddin menegaskan permasalahan dalaman parti perlu diselesaikan melalui mesyuarat serta saluran rasmi, bukan secara terbuka di media.

“Bawa isu dalaman secara terbuka hanya akan mengeruhkan keadaan, melemahkan perpaduan, serta membuka ruang kepada pihak lawan untuk mengambil kesempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pimpinan dan ahli di setiap peringkat agar kekal fokus kepada perjuangan parti, memelihara kesatuan serta tidak terjebak dengan tindakan yang boleh melemahkan parti.

Sementara itu, Badan Pimpinan Bersatu Johor menegaskan sokongan penuh kepada Muhyiddin untuk terus memimpin parti serta Perikatan Nasional (PN).

Dr Sahruddin berkata, kepimpinan Muhyiddin yang berwibawa dan berpandangan jauh diyakini mampu mengemudi parti menghadapi cabaran semasa.

“Bersatu Johor berdiri teguh menyatakan sokongan penuh kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin parti serta PN. Kami yakin beliau mampu menyelesaikan polemik yang berlaku dalam parti,” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast