PUTRAJAYA – Kuota 300 liter bagi subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) akan diperbaharui pada setiap awal bulan.
“Hari ini 1 Oktober, maka jumlah kuota dikembalikan kepada 300 liter. Jadi sesiapa yang telah membeli RON95 menggunakan BUDI95 semalam, hari ini kuota kembali kepada jumlah 300 liter,” kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Dalam masa yang sama katanya, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kewangan akan membuat penerangan dari semasa ke semasa mengenai subsidi tersebut bagi mengelakkan kekeliruan.
Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk segera meneliti beberapa perkara berhubung BUDI95, termasuk penambahan kuota bagi pemandu e-hailing, p-hailing, teksi serta bot nelayan termasuk di Sabah dan Sarawak.
Mengenai isu pemandu ataupun rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu Singapura, beliau berkata, satu mekanisme yang khusus akan diwujudkan untuk membantu mereka mendapat bantuan subsidi BUDI95, katanya.
Menurut beliau, Kementerian Kewangan dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung status terkini pelaksanaan BUDI95, petang ini.
BUDI95 diperkenalkan pada 27 September lalu dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada keesokan harinya.
Semalam, kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter. – MalaysiaGazette
















