Takiyuddin pada sidang media di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pas menyatakan kesediaan untuk memimpin satu protes besar-besaran rentas kaum dan agama sekiranya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan di Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rakyat Malaysia, khususnya yang bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin, tidak boleh berdiam diri terhadap kehadiran seorang pemimpin yang didakwa terlibat dalam kekejaman terhadap penduduk Gaza.

“Kalau betul-betul dia (Trump) datang, kenapa tidak kita sebagai rakyat Malaysia tunjukkan pendirian kita? Kita boleh jumpa dia. Kalau dia tak mahu jumpa pun, kita tetap akan tunjukkan protes besar-besaran.

“Kita sedang mengatur perkara ini, protes rentas kaum, rentas bangsa, rentas golongan masyarakat. Di negara-negara Barat pun rakyat turun bantah, apatah lagi kita di Malaysia Madani ini, takkanlah kita nak sambut Trump, orang yang tangannya masih berlumuran darah rakyat Palestin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Menurut Takiyuddin, tindakan menjemput Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN adalah sesuatu yang amat dikesali dan tidak selari dengan semangat kemanusiaan yang didokong rakyat Malaysia.

“Bagi kita memang wajib untuk turun menentang. Kita protes bukan hanya terhadap kedatangannya, tetapi terhadap jemputan itu sendiri. Apakah orang seperti ini layak menerima jemputan dalam sidang sebesar ini, ketika kita menjadi Pengerusi ASEAN?

“Satu sisi kita bersimpati dengan Gaza, sisi lain kita menyambut orang yang bersubahat membunuh rakyat Palestin – rakyat Malaysia tak boleh terima,” tegas beliau.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Pengerusi Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), David Marshel mempersoalkan kehadiran Trump dan menggesa Pas memanfaatkan peluang ini untuk menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia.

Katanya, Pas sebagai parti politik yang mempunyai kerusi Parlimen terbanyak ketika ini perlu memainkan peranan utama dalam mengangkat suara rakyat dalam isu kemanusiaan global.

“Penghapusan etnik yang dilakukan rejim Zionis di Gaza jelas merupakan jenayah kemanusiaan yang melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip asas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kehadiran Trump adalah peluang yang sangat jarang berlaku, dan ia mesti digunakan untuk menzahirkan keberanian serta ketegasan politik Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast