KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM5 juta bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menghalang sebarang tindakan undang-undang dokenakan terhadap UBB Amanah Bhd.
Tertuduh, P Kuhan Arunasalam, 39, dituduh melakukan perbuatan itu pada 2 Julai lalu di sebuah restoran di Bangsar, di sini, dengan meminta wang daripada seorang individu, V Siva Ananthan.
Pertuduhan difailkan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin itu menyebut bahawa wang berjumlah RM5 juta diminta sebagai dorongan untuk pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap UBB Amanah.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.
Mahkamah menetapkan beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, diwajibkan melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan, selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan sepanjang prosiding berjalan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Selvam T Armugom, manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin.
Suzana menetapkan 6 November ini sebagai sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.
Difahamkan, tertuduh berkhidmat sebagai pengarah di Spherix Sdn Bhd, sebuah syarikat platform digital yang menawarkan perkhidmatan pematuhan dan penjejakan (compliance & traceability). – MalaysiaGazette
















