Penguatkuasa CPF memeriksa produk kesihatan tidak berdaftar yang dirampas dalam serbuan semalam.

KUANTAN – Sebanyak 126 jenis produk kesihatan dan kosmetik tidak berdaftar telah dirampas Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Pahang (CPF Pahang) hasil serbuan ke atas dua buah premis di sekitar bandar Kuantan semalam.

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dalam kenyataannya berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta.

“Produk-produk tersebut termasuklah ubat tradisional, suplemen kesihatan untuk radang lutut, probiotik, vitamin dan kosmetik.

“Produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi merupakan produk dan kosmetik yang diragui dari sudut keberkesanan, kualiti dan keselamatannya,” katanya.

Menurut JKNP, serbuan secara serentak di kedua-dua premis dilakukan susulan daripada maklumat kerjasama agensi dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Tindakan penguatkuasaan dibuat terhadap penjualan produk kesihatan tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dalam talian melalui platform e-dagang yang melanggar peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Kesalahan ini melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12, Akta Jualan Dadah 1952.

“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Manakala, syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000,” tambah JKNP.

Jelasnya lagi, tindakan penguatkuasaan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CPF Pahang dalam membanteras penjualan dan pengedaran produk kesihatan tidak sah di pasaran Malaysia.

Seiring dengan itu, Kementerian Kesihatan juga turut melaksanakan kempen kesedaran seperti “Tolak Ubat Tidak Sah” (TOBaTS) bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai risiko penggunaan produk kesihatan yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast