Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendakwa budaya `Deep State dan Little Napoleon’ (penjawat awam bawahan yang berada di sesuatu kedudukan tetapi berlagak seolah-olah begitu berkuasa) dalam Kementerian Pendidikan (KPM) adalah sesuatu yang benar.

Menurutnya, keengganan penjawat awam melaksanakan arahan menteri bukanlah sesuatu yang asing sewaktu beliau menjadi Menteri Pendidikan.

“Shaza, mantan pegawai saya telah membongkarkan sebahagian darinya,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Terdahulu, menerusi hantaran sama, Maszlee merujuk laporan portal berita berkenaan bekas pegawainya, Shaza Scherazade Alauddin Onn dalam perbicaraan melibatkan kes saman ponteng guru yang difailkan oleh Siti Nafirah Siman terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

“Semalam Malaysiakini telah melaporkan keterangan saksi berhubung kes cikgu ponteng sekolah yang telah dibawa ke mahkamah di zaman saya.

“Mantan pegawai khas saya, Shaza Shahrezad telah membongkarkan segalanya dalam keterangan beliau.

“Intipatinya, meskipun saya telah mengarahkan agar mereka yang bersalah dikenakan tindakan tegas dan melantik pegawai khas untuk menguruskan kes tersebut namun pengurusan tertinggi KPM tidak menjalankan arahan saya melalui pegawai yang telah saya lantik!” katanya.

Menurut laporan portal berita itu, Shaza Scherazade memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bahawa KPM mengabaikan laporan mengenai salah guna dana berbilion ringgit dalam satu projek selain kes penderaan kanak-kanak serta seksual.

Ketika memberi keterangan dalam kes itu seperti dipetik laporan portal tersebut, Shaza Scherazade mendakwa KPM berulang kali menutup salah laku serius walaupun pelanggaran telah dibuktikan.

Katanya, selaku pegawai khas, dia sering terpaksa campur tangan kerana KPM sama ada mengabaikan atau gagal memenuhi arahan menteri, bagi memastikan hasilnya tetap selaras dengan arahan pejabat menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast