Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Tindakan rejim Zionis Israel memintas kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dan menahan aktivis yang dalam perjalanan menghantar bantuan ke Gaza disifatkan sebagai jenayah serius serta pencabulan terang-terangan terhadap Konvensyen Geneva dan undang-undang maritim antarabangsa.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan tersebut merupakan satu penghinaan besar terhadap usaha kemanusiaan global dan wajib dikecam sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa.

Menurut beliau, sikap biadab dan zalim rejim pimpinan Benjamin Netanyahu bukan sahaja bersifat intimidasi terhadap aktivis antarabangsa, malah mencerminkan keangkuhan Israel yang secara terbuka memperlekehkan undang-undang antarabangsa.

“Krisis Palestin adalah tragedi kemanusiaan terbesar dalam sejarah moden. Dunia tidak boleh terus berdiam diri. Sudah tiba masanya komuniti global bersatu untuk menghentikan kekejaman ini dan mengheret pelakunya ke muka pengadilan antarabangsa,” tegas dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Hamzah menyeru kerajaan Malaysia agar lebih tegas dan proaktif dalam mendesak tindakan konkrit oleh badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) serta negara-negara serantau melalui ASEAN dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

“Kita tidak lagi memerlukan resolusi tanpa tindakan. Israel mesti dihukum atas jenayah kemanusiaan yang berterusan dilakukan terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan memastikan keselamatan aktivis Malaysia serta rakan-rakan antarabangsa yang menyertai misi flotilla berkenaan terjamin dan dapat kembali ke tanah air dengan selamat.

Perikatan Nasional (PN), ujarnya, akan terus berdiri teguh bersama perjuangan suci rakyat Palestin dan menyokong penuh segala usaha menghentikan kekejaman rejim Zionis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast