Tangkap layar menunjukkan pihak MBSP melepaskan ikan keli Afrika untuk pertandingan memancing pada 20 September lalu.

SEBERANG PERAI – Insiden pelepasan ikan asing (ikan Keli Afrika) semasa pertandingan memancing anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 20 September lalu mendapat perhatian serius Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang.

Pengarahnya, Zarina Zainuddin berkata, siasatan awal telah dijalankan dan pihaknya kini menunggu maklum balas rasmi daripada MBSP bagi melengkapkan proses semakan serta tindakan selanjutnya.

“Jabatan Perikanan negeri ingin menyatakan kekesalan atas insiden pelepasan ikan asing (ikan Keli Afrika) yang berlaku semasa pertandingan memancing anjuran MBPS.

Zarina.

“Kita telah mengambil maklum berhubung perkara ini dan kini menunggu maklum balas rasmi daripada pihak MBSP bagi tindakan selanjutnya,” katanya kepada MalaysiaGazette

Mengulas lanjut, beliau berkata, garis panduan pelepasan ikan oleh orang awam hanya membenarkan spesies ikan asli dilepaskan ke perairan umum manakala pelepasan ikan asing atau bukan asli adalah dilarang kerana berisiko mengganggu biodiversiti, menjejaskan habitat serta mengancam populasi ikan asli.

“Jabatan Perikanan akan terus memastikan kelestarian sumber asli perikanan negara dipelihara. Kami amat berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama dengan merujuk terlebih dahulu kepada pihak kami sebelum melaksanakan sebarang aktiviti pelepasan ikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Langkah ini penting supaya tindakan yang diambil tidak menjejaskan keseimbangan ekosistem dan sumber asli yang kita warisi demi kepentingan generasi kini dan masa depan,” katanya.

Rata-rata pihak mendakwa ikan Keli Afrika itu boleh memasuki kawasan perairan negeri sekali gus mengancam spesis ikan lain.

Untuk rekod, MBSP didakwa telah menganjurkan sebuah pertandingan memancing di sebuah tasik berhampiran bangunan mereka dengan melepaskan beratus kilogram ikan Keli Afrika pada 20 September lalu.

Tindakan itu mencetuskan kritikan pelbagai pihak khususnya golongan nelayan kerana pelepasan spesies ikan asing ke perairan terbuka adalah satu kesalahan di bawah Jabatan Perikanan.

Tasik berkenaan juga dikatakan mempunyai hubungan aliran dengan Sungai Juru sekali gus menimbulkan kebimbangan risiko pelepasan spesies pendatang itu terutama pada musim hujan.

Pelbagai pihak mempersoalkan mengapa MBSP tidak mendapatkan rujukan atau kebenaran daripada Jabatan Perikanan sebelum pelepasan dibuat memandangkan hebahan mengenai ancaman ikan pendatang telah lama disuarakan.

Isu ini turut mencetuskan gesaan agar Jabatan Perikanan di peringkat negeri memperketatkan kawalan terhadap penganjur pertandingan memancing yang masih menggunakan spesies asing seperti ikan Keli Afrika. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. jika perlu untuk membanteras/menangkap semula ikan2 asing tersebut kami SPIA boleh membantu sedikit cuma kami perlukn sedikit bantuan Dari segi kos untuk kesana…

Comments are closed.