JOHOR BAHRU – Tular video seorang lelaki memandu kereta Singapura mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Taman Sierra Perdana, Plentong, di sini, selepas tidak sampai tiga hari inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) dilancarkan.
Rakaman yang tular dalam media sosial sejak semalam itu memaparkan seorang lelaki sedang mengisi RON95 ke dalam kenderaan dengan nombor pendaftaran negara jiran itu pukul 3.55 pagi semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo ketika dihubungi mengesahkan ada menerima aduan tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
Jelasnya, pasukan penguat kuasa KPDN negeri sudah dihantar ke stesen minyak berkenaan bagi siasatan lanjut.
“Jika terdapat kecuaian di pihak pengusaha stesen minyak, tindakan lanjut akan diambil menerusi kertas siasatan yang kemudian akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya.
Rakaman tular berdurasi 20 saat itu, mencetus rasa kurang senang orang ramai kerana lelaki berkenaan mengisi RON95 yang khusus kepada rakyat tempatan.
Perakam meminta lelaki berkenaan mengisi RON97 seperti yang dikuatkuasakan kepada kenderaan asing di negara ini.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang mengecam sikap tidak bertanggungjawab tersebut selain mempersoalkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan larangan pembelian RON95 subsidi oleh warga asing.
Semasa pelancaran BUDI95 di daerah ini kelmarin, Lilis Saslinda dilaporkan berkata, KPDN Johor akan melakukan pemantauan terutama di stesen-stesen minyak berdekatan sempadan Johor-Singapura bagi mengelak warga asing yang akan mengambil kesempatan.
Menurutnya, pihak KPDN negeri tidak dapat meletak penguat kuasa mereka di setiap stesen minyak berhampiran sempadan namun meminta orang ramai bekerjasa dengan memaklumkan perkara itu. – MalaysiaGazette
















