Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki.

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera rejim Zionis yang telah menahan rakyat Malaysia di perairan antarabangsa ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, tindakan menahan dan menawan sukarelawan serta aktivis kemanusiaan termasuk rakyat Malaysia itu merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Flotila tersebut berada di perairan antarabangsa, di luar zon maritim Gaza yang disekat dan membawa misi murni bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.

“Namun tindakan agresif tentera Israel jelas merupakan jenayah perang serta melanggar beberapa instrumen undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, antara undang-undang yang didakwa telah dilanggar termasuk Konvensyen Geneva Keempat, yang melindungi orang awam dalam masa perang; Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), yang menjamin kebebasan navigasi di perairan antarabangsa dan Peraturan Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) yang menjamin keselamatan dan kebebasan misi bantuan kemanusiaan.

Sehubungan itu PPMM menuntut beberapa langkah segera diambil, termasuk pembebasan segera dan tanpa syarat rakyat Malaysia yang ditahan, mengenakan tindakan undang-Undang di peringkat antarabangsa dengan membawa kes ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atau Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Turut perlu dilakukan, kata beliau, kecaman Global terhadap tindakan Zionis khususnya daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Tambah Muhamad Hisham, PPMM juga menyeru kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera dan efektif menggunakan semua saluran yang ada bagi memastikan pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan secara salah oleh tentera Israel.

“PPMM berdiri teguh dalam solidariti bersama misi Sumud Flotila dan para sukarelawan yang memperjuangkan hak kemanusiaan rakyat Gaza. Tindakan kejam ini tidak boleh dibiarkan dan memerlukan respon tegas masyarakat antarabangsa,” tegas beliau.

Misi Sumud Flotila disertai sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, dengan objektif menghantar bantuan kemanusiaan secara langsung ke Gaza yang kini terus disekat akses darat dan laut oleh rejim Zionis. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast