KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Luar Negeri akan mencari dan mengambil langkah diplomatik terbaik dalam membantu pembebasan segera semua sukarelawan rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Dalam masa sama, Ketua menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru seluruh warga Sabah tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan politik agar bersatu dalam memberikan solidariti terhadap insiden tersebut.
Jelasnya, Kerajaan Negeri Sabah amat prihatin dan turut menzahirkan rasa kebimbangan terhadap penahanan dua anak Sabah iaitu Zizi Kirana dan Sul Aidil yang turut menyertai misi kemanusiaan tersebut.
“Keberanian mereka amat membanggakan kita semua.
“Doa kita mengiringi keselamatan dan pembebasan mereka yang berjuang atas nama kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini, seramai 13 rakyat Malaysia di atas lima kapal misi GSF terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) dengan lapan termasuk Zizi Kirana disahkan ditahan tentera Israel setakat pukul 6 pagi tadi waktu Malaysia.
Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut ialah seramai 23 orang. – MalaysiaGazette
















