KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Cik Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz.
Penganugerahan darjah kebesaran itu dikurniakan baginda selepas Cik Afzaa selamat diijabkabulkan dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung hari ini di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
“Dengan penganugerahan itu, gelaran rasmi konsort kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor adalah Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan, hari ini.
Majlis perkahwinan diraja itu berlangsung dalam suasana penuh adat istiadat Diraja Selangor dan dihadiri oleh kerabat diraja, tetamu kenamaan serta dif-dif jemputan. – MalaysiaGazette















