KUALA LUMPUR – Seluruh warga Universiti Malaya (UM) mengutuk keras tindakan Israel menahan sukarelawan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, beliau bersama 44,000 pelajar dan 12,000 staf UM menzahirkan solidariti sepenuhnya kepada konvoi berkenaan.
Tegasnya, tindakan agresif itu jelas merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa, prinsip moral, serta asas nilai kemanusiaan.
Tambah beliau, misi GSF hanyalah untuk menyelamatkan nyawa penduduk Gaza yang sedang kebuluran dan menderita akibat penindasan Israel.
“Penahanan ini sama sekali tidak boleh diterima dari sudut keadilan dan kemanusiaan.
“Tindakan penindasan ini mesti dikutuk oleh seluruh masyarakat antarabangsa. Dunia tidak boleh berdiam diri terhadap ketidakadilan, kekejaman dan potensi genosid.
Isu ini melangkaui batas politik, ia adalah soal kemanusiaan, moral, keadilan, maruah dan hak untuk hidup,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, UM akan terus mengecam segala tindakan agresif dan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
UM juga katanya, akan terus menyokong usaha murni flotilla dan semua inisiatif kemanusiaan lain dalam membawa bantuan serta harapan kepada Gaza.
Mereka turut mendesak komuniti antarabangsa agar menegakkan keadilan, menghalang kekejaman berterusan, serta memastikan pengakhiran segera terhadap perang dan penderitaan di Palestin.
Tambah Prof Noor Azuan, UM akan bersama gerakan solidariti antarabangsa menuntut pembebasan segera semua sukarelawan kemanusiaan yang ditahan. -MalaysiaGazette
















