SEPANG – Semua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Ketua Pengarah merangkap jurucakap rasmi Sumud Nusantara Crisis Centre (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, pasukan peguam daripada Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) yang mewakili peserta GSF telah memulakan sesi konsultasi dan bertemu dengan semua sukarelawan Malaysia.
“Peguam telah bertemu dengan semua 23 rakyat Malaysia. Mereka berada dalam keadaan baik dan sihat,” katanya pada sidang media di SNCC, hari ini.
Sani Araby menjelaskan, rundingan diplomatik kini berada pada tahap maksimum dengan penglibatan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berhubung dengan beberapa pemimpin utama dunia bagi menyelaras tindakan susulan insiden itu.
Menurutnya, Anwar telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani serta Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio.
“Hasil perbincangan antara Perdana Menteri dan Presiden Turkiye, beliau memaklumkan kepada saya pihak Turkiye bersetuju untuk melaksanakan rundingan.
“Insya-Allah sesi ini akan membawa kepada pembebasan sukarelawan Malaysia dan Turkiye yang ditahan untuk diterbangkan ke Istanbul sebelum pulang ke tanah air,” ujarnya.
Semua keluarga sukarelawan kini ditempatkan di sebuah hotel dan diberi sokongan moral, bimbingan rohani serta kebajikan termasuk untuk anak-anak mereka.
Sementara itu, lima delegasi Malaysia dan seorang warga Brunei yang tidak dapat meneruskan misi GSF apabila empat buah kapal mengalami kerosakan pada 28 September lalu akan diberi peranan baharu selepas penstrukturan semula misi.
“Alhamdulillah mereka telah selamat sampai dan akan mula berkampung di SNCC pada malam ini kerana misi ini belum selesai,” katanya.
Mereka ialah Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein, Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid manakala Rezahmaisalamah Md Yusof adalah dari Brunei.
Dua lagi delegasi Malaysia, Hidayat Abdullah dan Nik Aziz Nik Mohammad dihantar ke Jordan untuk membantu pasukan peguam Malaysia.
Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, dengan membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza sebagai usaha memecahkan sekatan Israel.
Konvoi itu mendapat perhatian antarabangsa apabila disertai aktivis, Greta Thunberg, pelakon Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela. – MalaysiaGazette
















