KUBANG PASU – Hujan lebat sejak jam 2 petang tadi menyebabkan banjir di tiga mukim daerah ini sehingga menjejaskan 41 keluarga.
Antara kawasan terjejas membabitkan Mukim Naga, Malau dan Bukit Tinggi dengan enam buah kampung terlibat iaitu Kampung Muhibbah, Kampung Paya Tok Teh, Kampung Tengah Malau, Kampung Kemunting Baru, Kampung Naga serta Kampung Tok Jalai.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kpt (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, 41 keluarga dilaporkan terkesan melibatkan 41 buah rumah, namun jumlah mangsa masih dalam proses bancian.
“Keadaan ketika ini masih terkawal dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Paras air di beberapa lokasi dilihat berbeza dengan Kampung Muhibbah, Kampung Tengah Malau dan Kampung Kemunting Baru menunjukkan trend menurun manakala Kampung Paya Tok Teh, Kampung Naga dan Kampung Tok Jalai berada dalam keadaan paras air meningkat.
“Setakat ini, jumlah rumah yang terjejas ialah 41 membabitkan enam buah kampung. Jumlah mangsa masih dalam bancian pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, namun penduduk telah dinasihatkan untuk berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk.
“Kita bersama agensi lain termasuk PDRM, JBPM, JKM dan Pejabat Daerah sedang mengumpul maklumat lanjut serta memantau paras air dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















