Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Cadangan 20 perkara dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel ke atas rakyat Palestin bukan satu tawaran damai kepada Hamas tetapi satu ugutan.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, syarat yang ditetapkan Trump jelas berbentuk ancaman kerana Hamas diberi tempoh empat hari untuk menerima cadangan itu atau pembunuhan beramai-ramai akan diteruskan dengan lebih buruk.

Dr Mahathir dalam kenyataannya turut menegaskan cadangan itu digubal bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sekali gus menjadikan ia lebih berpihak kepada Israel kerana cadangan itu lahir daripada pemimpin mereka sendiri.

“Ia boleh diterima oleh Israel kerana ia digubal oleh Perdana Menteri mereka. Seperti Netanyahu, Trump mahu mengambil alih Gaza. Ini bermaksud rakyat Palestin mesti menyerah diri,” ujarnya.

Beliau mempersoalkan bagaimana kedua-dua tokoh itu mengharapkan Hamas bersetuju dengan cadangan yang membawa maksud penyerahan diri sedangkan rakyat Palestin telah kehilangan lebih 60,000 nyawa akibat serangan udara Israel.

“Apa yang dicadangkan Trump dan Netanyahu hanyalah menjadikan nyawa yang terkorban dan kemusnahan total Gaza sebagai sia-sia. Pengorbanan mereka akan menjadi sia-sia,” katanya.

Dr Mahathir juga menolak label Trump sebagai pendamai sebaliknya menyifatkan beliau gemar menggunakan ugutan tarif, sekatan dan tekanan pelbagai bentuk untuk memaksa pihak terlibat menghentikan pertempuran namun hakikatnya gagal.

“Trump telah gagal, di Ukraine dan Rusia pembunuhan masih berterusan. Pembunuhan beramai-ramai oleh Israel juga akan terus berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan Hamas menolak cadangan Trump tersebut kerana ia tidak memberi sebarang jaminan malah akan memperhebatkan lagi kekejaman Israel dengan sokongan AS.

“Saya tidak terkejut jika Hamas menolak cadangan itu. Pembunuhan beramai-ramai akan berterusan malah lebih dahsyat dengan sokongan kuat AS,” tegas beliau.

Cadangan Trump yang diumumkan minggu ini antaranya menuntut Hamas menyerahkan senjata, melepaskan kawalan ke atas Gaza dan membenarkan pentadbiran baharu diterajui pihak ketiga yang difahamkan akan disokong Israel.

Usul tersebut dirangka bersama Netanyahu sekali gus menjadikannya lebih mudah diterima oleh Tel Aviv.

Pelan berkenaan mengandungi gencatan senjata segera, pertukaran semua tebusan Hamas dengan banduan Palestin di Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas serta pembentukan kerajaan peralihan yang diketuai sebuah badan antarabangsa.

Sebahagian besar daripada 20 perkara itu turut pernah dimasukkan dalam beberapa cadangan gencatan senjata sepanjang dua tahun lalu – ada yang diterima dan kemudian ditolak oleh Israel mahu pun Hamas pada peringkat berbeza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast