KUALA LUMPUR – Dijemput secara rasmi sebagai speaker di Persidangan Kesihatan Garmin 2025 yang berlangsung di pusat kewangan dunia, New York Stock Exchange (NYSE), Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini bukan sahaja kemuncak kejayaan peribadi Dr. Suffian Sani bahkan melakar sejarah untuk Malaysia.
Beliau merupakan satu-satunya wakil dari negara ini yang dijemput ke acara berprestij tersebut yang menghimpunkan tokoh kesihatan, penyelidik dan penggiat industri teknologi perubatan dari seluruh dunia.
Dr Suffian, 35, berkata, jemputan itu sebagai pengiktirafan terhadap Megaklinik Dr Suffian (MKDS) yang diasaskan apabila kini diiktiraf sebagai pusat perubatan penurunan berat badan paling aktif di Malaysia dengan rekod merawat lebih 2,000 pesakit setiap bulan.
“Lebih membanggakan, MKDS bakal menjadi antara klinik pertama di Malaysia yang mengintegrasikan teknologi Garmin dalam protokol rawatannya.
“Melalui data yang digunakan, MKDS dapat membangunkan protokol rawatan yang lebih peribadi, saintifik dan berkesan sekali gus membezakan klinik ini daripada pusat rawatan konvensional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Suffian menambah, inspirasi daripada Persidangan Kesihatan Garmin 2025 itu, pihaknya kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya dengan menubuhkan subdivisi penyelidikan baharu.
Jelasnya, fokus baharu bukan sahaja pada penurunan berat badan tetapi juga kepada bidang anti-penuaan, pertumbuhan otot dan pengoptimuman kesihatan menyeluruh.
“Kami berhasrat agar pada persidangan akan datang, MKDS bukan sekadar hadir sebagai peserta tetapi akan membentangkan hasil penyelidikan klinikal sendiri kepada dunia saintifik antarabangsa.
“Ini adalah peluang untuk MKDS bukan sahaja membawa nama klinik tetapi juga mengangkat nama Malaysia dalam bidang kesihatan global,” katanya. – MalaysiaGazette
















