Abdul Rasheed Ghaffour

KUALA LUMPUR – Literasi kewangan pada hari ini telah menjadi satu kemahiran asas yang penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan setiap rakyat dan sosio-ekonomi negara.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kemahiran itu menjadi panduan untuk kita merancang perbelanjaan isi rumah, membuat keputusan simpanan dan pelaburan yang bijak, menabung untuk masa depan anak-anak, serta melindungi diri daripada risiko kewangan.

Menurutnya sebagai contoh, bagi seorang belia, literasi kewangan adalah kunci untuk membina asas permulaan kedudukan kewangan diri yang kukuh manakala bagi sebuah keluarga, kemahiran ini membantu menjamin kestabilan dan kesejahteraan ahli keluarga pada masa hadapan.

“Bagi seorang pesara pula, literasi kewangan dapat memastikan rancangan simpanan yang mencukupi untuk menjalani hari-hari mendatang dengan tenang dan selesa.

“Masyarakat yang celik kewangan akan lebih yakin semasa membuat keputusan kewangan dan memanfaatkan peluang, serta lebih bersedia untuk menghadapi cabaran, dan lebih berdaya tahan dalam mengharungi ketidakpastian keadaan ekonomi dan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026–2030 dan Bulan Literasi Kewangan 2025 di Sasana Kijang, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri dan turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menurunkan tandatangan ketika melancarkan Bulan Literasi Kewangan 2025 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 OKTOBER 2025

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed memberitahu, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, tetapi negara tidak kebal daripada risiko cabaran global.

Tekanan inflasi kata beliau, sekiranya tidak dibendung, akan menjejaskan kuasa beli rakyat yang mana perubahan rantaian bekalan menimbulkan ketidakpastian pada perniagaan.

Namun pendigitalan ujarnya, membawa peluang baharu namun hadir dengan risiko penipuan kewangan dan skim pelaburan yang berbahaya.

“Dalam menangani realiti sebegini, literasi kewangan menjadi benteng pertama rakyat. Dengan adanya kefahaman kewangan yang mantap, rakyat mampu membuat keputusan berasaskan maklumat, menyesuaikan perbelanjaan mengikut kemampuan sebenar, dan melindungi diri daripada perangkap kewangan yang boleh menyusahkan pada masa hadapan.

“Setiap individu yang lebih celik kewangan menjadi satu lagi batu loncatan menuju Malaysia yang lebih kukuh. Setiap keluarga yang berdisiplin dalam mengurus kewangan merupakan batu asas kepada sebuah masyarakat yang lebih sejahtera.

“Dan setiap usaha kecil yang kita laksanakan bersama akan bergabung menjadi gelombang besar yang mampu mengangkat nama negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast