KUALA LUMPUR – Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menolak 20 cadangan yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghentikan tindakan ketenteraan Israel di Palestin.
Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, cadangan yang digubal melalui rundingan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bukan tawaran kemanusiaan tulen tetapi satu ancaman yang direka untuk menguatkuasakan penyerahan diri Palestin.
“Ini bukanlah pelan damai, ia adalah tuntutan untuk penyerahan mutlak, yang dikemukakan dengan tempoh empat hari.
“Mana-mana rangka kerja yang dibangunkan oleh arkitek kempen ketenteraan yang sedang berlangsung itu sendiri sama sekali tidak boleh berfungsi sebagai laluan neutral kepada keadilan.
“Tuntutan terasnya adalah agar rakyat Palestin menerima penyelesaian yang secara efektif mengabsahkan objektif Israel untuk menduduki Gaza. Ini tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan.
Jismi berkata, sejarah menunjukkan bahawa taktik menggunakan ancaman, tarikh akhir dan tuntutan tidak membawa kepada keamanan yang berkekalan sebaliknya menyebabkan keganasan yang berterusan.
MAHAR menjangkakan cadangan bersifat paksaan oleh Trump juga akan ditolak oleh pejuang Palestin.
“Jika penolakan berlaku dan kami menjangkakannya, akibatnya adalah peningkatan serangan ketenteraan yang lebih lanjut, dibantu kuat oleh kuasa-kuasa asing yang mengelirukan ancaman dengan diplomasi,” tambahnya.
Sementara itu, Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar berpendapat, cadangan Trump secara sinis mengabaikan kos kemanusiaan dan kemusnahan yang dahsyat yang telah berlaku di Gaza.
Jelasnya, rakyat Palestin telah kehilangan lebih 60,000 nyawa akibat pengeboman tanpa henti terpaksa menerima syarat-syarat yang ditetapkan sekali gus menjadikan pengorbanan mereka sia-sia
“Cadangan ini berusaha untuk merasmikan kemusnahan total Gaza dan menuntut agar mangsa genosid ini melepaskan hak mereka untuk menentang dan mendapat keadilan. Ia direka untuk memastikan nyawa yang hilang dan kemusnahan yang dialami akan menjadi sia -sia,” tegas Nurul Izzah.
MAHAR memberi amaran bahawa pendekatan semasa untuk keamanan di Gaza adalah cacat secara fundamental dan hanya akan memperhebatkan krisis. – MalaysiaGazette
















