Ketua Pengarah SNCC Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby

KUALA LUMPUR – Semua sukarelawan Malaysia daripada Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan di Ashdod, Israel dijangka dibawa keluar menerusi penerbangan dalam tempoh 48 jam.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, mereka akan dibawa ke  Istanbul atau Ankara hasil daripada rundingan peringkat antarabangsa.

“Sedikit masa lagi mereka akan diterbangkan keluar, mungkin daripada Ankara ataupun daripada Istanbul. Kita dimaklumkan tempoh masa itu sekitar 48 jam,” katanya dalam sidang media malam ini.

Kementerian Luar sebelum ini memaklumkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Menurut beliau, ia hasil rundingan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, selain sokongan pihak lain.

Menurut Sani Araby, misi flotila kekal dengan matlamat utama iaitu mendesak perang dihentikan, korban ditamatkan dan koridor kemanusiaan dibuka untuk membolehkan bantuan sampai ke Gaza.

Katanya, sokongan masyarakat antarabangsa membuktikan perjalanan flotila telah mencetuskan gelombang solidariti global yang memberi tekanan besar terhadap Israel.

“Perjalanan Sumud Nusantara ini adalah petunjuk jelas bahawa Israel kini berada dalam tekanan. Teruskan doa dan sokongan kerana inilah momentum untuk mendesak gencatan senjata sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast