KUALA LUMPUR – Kesemua 23 aktivis Global Sumud Flotila (GSF) Malaysia yang kini ditahan Israel berada dalam keadaan selamat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau sendiri telah berhubung sebanyak dua tiga kali dengan rakan sejawatnya dari Jordan dan Mesir semalam bagi memohon bantuan agar keselamatan rakyat Malaysia itu terjamin.
“Jadi saya harap keluarga rakyat Malaysia yang menyertai GSF ini jangan risau sangat. Mereka dalam keadaan selamat dan usaha sedang dilakukan oleh semua pihak terutamanya daripada SNCC agar rakyat Malaysia dapat kita keluarkan segera dan urusan untuk membawa mereka balik telah pun siap.
“Kerajaan negara Turkiye akan membawa mereka balik. Ada juga pihak-pihak daripada rakyat Malaysia sendiri yang telah pun memberikan aku janji untuk bersama-sama membantu membawa balik rakyat Malaysia jika mereka keluar daripada Jordan pula.
“Kita ada dua pintu tetapi yang senangnya ialah daripada pintu Jordan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Sepang, Selangor di sini hari ini.
Turut hadir, timbalannya, Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi turut memberi jaminan telah mengarahkan kementeriannya dan juga kementerian agensi yang lain daripada Jordan untuk membantu rakyat Malaysia seperti mana rakyat mereka yang turut ditahan.
“ Itu jaminan beliau dan juga Turkiye juga memberi jaminan bahawa rakyat Malaysia akan dibantu sebaik mungkin. Jadi kita banyak rakan.
“Ini baiknya kita sebagai sebuah negara yang bersahabat dengan banyak negara yang sedia membantu seperti mana kita membantu rakyat rakan-rakan daripada negara ASEAN semasa Teheran dibom tempoh hari,” katanya.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim zionis.
Kementerian Luar sebelum ini mengesahkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga. – MalaysiaGazette
















