KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif perlu memberi penjelasan mengapa Bukit Damansara bukan lagi kawasan larangan pembangunan pencakar langit.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu timbul apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa mengeluarkan peta baharu hingga membenarkan bangunan pencakar langit dibina di kawasan itu.
“Dulu saya pun ada tanah dekat sini, tapi sudah dijual, bila saya nak bangunkan, saya diberitahu kawasan ini ada had ketinggian, kerana ada Istana Negara, jiran kita adalah Yang di-Pertuan Agong.
“Tetapi peta baharu dikeluarkan DBKL dengan ajaib, saya tak pasti macam mana boleh berlaku, keseluruhan baris ini (Jalan Semantan) sudah tiada dalam kawasan had ketinggian.
“Keseluruhan baris ini di sebelah kiri Jalan Semantan, ada Wisma Damansara yang dulunya pejabat MIDA dan bangunan lama termasuk CIMB, semua itu berada di bawah kawasan had ketinggian.
“Kita tak boleh bina bangunan pencakar langit, tapi bawah peta baharu, kawasan tidak lagi kawasan larangan dibangunkan pencakar langit.
“Kita nak tahu, ini kerja gila, kita tak tahu siapa yang membenarkan, ada yang kata ada sesuatu yang tidak betul dengan DBKL, inilah buktinya,” katanya pada Himpunan Selamatkan Bukit Damansara Daripada Pencakar Langit, di Jalan Semantan 2, di sini, hari ini.

Terdahulu kira-kira 200 penduduk Bukit Damansara berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap cadangan pembangunan di Lot 482210, 482211 dan 482212, Jalan Semantan, Bukit Damansara, di sini yang dipamerkan dalam akhbar tempatan pada 1 Ogos 2025.
Cadangan pembangunan itu membabitkan pembinaan bangunan pencakar langit sehingga 60 tingkat yang dikhuatiri menyebabkan kesesakan lalu lintas semakin parah, gangguan keamanan dan kebisingan.
Mengikut bantahan itu, bangunan pencakar langit itu dicadangkan oleh pemaju, Magna Senandung Sdn Bhd.

Selain itu, Khairy juga meminta DBKL memberi penjelasan sejauh mana pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membuat kajian lalu lintas sebelum membenarkan pemaju membangunkan bangunan pencakar langit itu.
“Saya nak tanya DBKL. Adakah DBKL dah buat kajian lalu lintas ke atas Jalan Semantan supaya bersetuju dengan nisbah plot yang diberi kepada BRDB?
“Kita nak tahu. Adakah DBKL dah bagi ke tidak? Dah buat ke tidak laporan lalu lintas. Berapa banyak yang boleh diambil (kawasan) di Jalan Semantan,” katanya.

Khairy percaya Datuk Bandar Kuala Lumpur itu yang pernah menggalas jawatan sebagai Pengarah Eksekutif UN Habitat dan juga seorang perancang bandar memahami keperluan projek itu.
“Saya percaya dalam hati dia, dia juga tak mahu memiliki sebuah bangunan 60 tingkat. Saya percaya dalam hati dia, dia mahu kita datang hari ini untuk memberi justifikasi kepada beliau.
“Penduduk Bukit Damansara telah bersuara, mereka mengatakan tidak kepada bangunan pencakar langit di Bukit Damansara,” katanya.
Khairy turut memberi jaminan untuk menyuarakan bantahan penduduk Bukit Damansara untuk menghalang pembangunan bangunan pencakar langit itu.
“Saya akan menggunakan platform media sosial saya, saya akan salah guna kuasa saya dalam Keluar Sekejap, saya akan kempen untuk Bukit Damansara sampai kita dapat matlamat kita.
“Kami telah berada di sini selama berdekad. Kami telah berada di sini selama 30, 40, 50 tahun. Ini bukan rumah kita, tetapi ini kampung kita, kami tidak akan pergi ke mana-mana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















