KUALA LUMPUR – Kejayaan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang sekali lagi dipilih sebagai Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi penggal 2026 hingga 2028 bukti keyakinan antarabangsa terhadap kepakaran dan komitmen Malaysia dalam bidang keselamatan sosial.
Menteri Sumber Manusia, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen dan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha kerajaan membangunkan sistem keselamatan sosial yang menyeluruh untuk rakyat khususnya para pekerja.
“Pencapaian-pencapaian ini mencerminkan tekad kita untuk menjunjung maruah setiap pekerja, melindungi sumber pendapatan, serta memposisikan Malaysia sebagai peneraju global dalam bidang keselamatan sosial,” katanya menerusi kenyataan.
Mohammed Azman dipilih pada Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, Malaysia telah merekodkan peningkatan 63 peratus dalam jumlah pekerja yang dilindungi di bawah keselamatan sosial antara 2015 hingga 2025.
Dalam masa yang sama bayaran faedah maksimum kepada individu berinsurans meningkat daripada RM2,655 pada 2015 kepada RM5,355 pada 2025.
Malaysia juga merupakan antara segelintir negara di dunia yang meluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah melalui inisiatif seperti Skim Lindung Kasih dan program i-Suri KWSP. Pada tahun 2024, lebih daripada 500,000 suri rumah telah dilindungi di bawah Skim Lindung Kasih.
Selain itu, Malaysia turut memperluas perlindungan kepada pekerja gig melalui Rang Undang-Undang Pekerja Gig yang baru diluluskan di Parlimen, katanya.
“Kerajaan juga akan membentangkan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) pada sidang Parlimen yang akan datang untuk memperkenalkan perlindungan 24 jam Perkeso kepada para pekerja.
“Pindaan ini akan memastikan pekerja terus dilindungi di luar waktu pejabat, selaras dengan realiti zaman kini di mana waktu kerja tidak lagi terhenti di pintu pejabat,” tambahnya.-MalaysiaGazette
















