Gambar hiasan

ISU pemilikan rumah dalam kalangan generasi muda Malaysia semakin meruncing dari tahun ke tahun khususnya dalam kalangan bumiputera. Harga rumah yang melonjak, gaji yang tidak seiring dengan kos sara hidup, dan tahap literasi kewangan yang masih rendah menyebabkan ramai belia hari ini menangguhkan niat untuk memiliki kediaman sendiri.

Malah, ada yang terus kekal menyewa walaupun sudah berkeluarga kerana menganggap rumah sebagai “aset mewah” yang sukar dicapai. Situasi ini, jika dibiarkan, akan menimbulkan implikasi jangka panjang terhadap kesejahteraan sosial dan kestabilan ekonomi negara.

Justeru, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan penubuhan Tabung
Perumahan Nasional sebagai satu inisiatif tersusun untuk membantu golongan muda memiliki rumah pertama. Konsep ini tidak lagi bertumpu pada pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tetapi menekankan amalan menabung secara konsisten seperti Tabung Haji atau Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Pengalaman Tabung Haji misalnya telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia,khususnya kaum Bumiputera Islam mampu dididik dengan budaya menabung apabila disediakan instrumen yang jelas, patuh syariah, dan berlandaskan kepercayaan terhadap pengurusan kerajaan. Kejayaan Tabung Haji membina tabiat simpanan jangka panjang dalam kalangan umat Islam boleh dijadikan asas untuk membangunkan Tabung Perumahan Nasional.

Begitu juga dengan SSPN yang memberi ruang kepada ibu bapa membuat simpanan pendidikan untuk anak-anak, sekali gus mengurangkan pergantungan pada pinjaman yang berorientasikan pendidikan. Kedua-dua contoh ini membuktikan bahawa mekanisme simpanan terus dapat membentuk budaya kewangan yang lebih sihat dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kerajaan mempunyai peranan penting dalam mendasari kempen kesedaran menabung untuk rumah pertama ini seawal usia. Penglibatan kerajaan memberi jaminan keyakinan kepada rakyat, khususnya dalam kalangan anak muda yang berpendapatan sederhana dan rendah. Dek kerana pendapatan yang sedikit, mereka cenderung berhati-hati dengan sebarang bentuk skim kewangan kerana bimbang ditipu atau tidak mendapat pulangan.Lebih-lebih lagi dengan kewujudan “scammer” atas talian yang seringkali terlepas dari tindakan undang-undang.

Menjadikan, hanya institusi yang dijamin oleh kerajaan sahaja yang benar-benar diyakini oleh kebanyakan rakyat. Apabila kerajaan menjadi pelindung dan pengawal selia, potensi untuk meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan rakyat seawal usia lebih mudah untuk disasarkan. Kedua, kerajaan boleh menambah nilai kepada simpanan rakyat melalui pemberian insentif padanan atau subsidi tertentu.

Sebagai contoh, setiap simpanan RM100 sebulan yang dilakukan oleh individu boleh diberikan padanan tambahan RM25 atau amaun yang difikirkan sesuai oleh kerajaan merujuk keadaan ekonomi semasa. Mekanisme seperti ini bukan sahaja menggalakkan rakyat menabung, malah memberikan motivasi bahawa setiap ringgit yang disimpan membawa nilai berganda.

Seperti mana Tabung Haji menyediakan kemudahan membuka akaun kanak-kanak seawal usia bayi dengan hanya menggunakan sijil kelahiran atau MyKid, Tabung Perumahan Nasional juga wajar mencontohi pendekatan ini. Bayi yang baru lahir boleh terus mempunyai akaun simpanan rumah atas nama mereka sendiri, sekali gus memberi ruang kepada ibu bapa memupuk kesedaran kewangan sejak awal.

Dengan simpanan permulaan serendah RM10 sebulan, ibu bapa boleh melatih diri untuk konsisten menabung demi masa depan anak-anak. Walaupun jumlahnya kelihatan kecil, hakikatnya dalam tempoh 15 hingga 20 tahun simpanan itu mampu berkembang menjadi modal penting, khususnya sebagai deposit rumah pertama. Falsafahnya jelas, kalau tidak mampu lakukan semuanya, jangan ditinggalkan semuanya.

Sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit, dan inilah budaya yang perlu dipupuk agar generasi akan datang melangkah ke alam dewasa dengan lebih gemilang, berbekalkan tabungan yang terancang untuk memiliki rumah sendiri. Mengikut laporan Bank Negara Malaysia, harga median rumah di negara ini adalah sekitar lima kali ganda lebih tinggi daripada median pendapatan isi rumah bulanan.

Piawaian antarabangsa menganggap tahap kemampuan membeli rumah yang ideal ialah sekitar tiga kali ganda daripada pendapatan. Jurang ini menunjukkan rumah di Malaysia berada dalam kategori “seriously unaffordable”. Keadaan ini bertambah parah dengan kadar pertumbuhan gaji yang perlahan, inflasi yang menekan, dan gaya hidup moden yang menyebabkan belia kurang menabung untuk aset jangka panjang.

Selain faktor ekonomi, aspek psikologi juga memainkan peranan. Ramai belia lebih cenderung berbelanja untuk keperluan segera seperti kereta, gajet, dan percutian, berbanding menabung untuk rumah. Hal ini berpunca daripada kurangnya pendedahan dan pendidikan kewangan sejak di bangku sekolah. Dalam jangka masa panjang, budaya ini boleh mewujudkan generasi penyewa yang kekal bergantung pada pihak lain, tanpa menikmati kestabilan pemilikan rumah sendiri.

Pelaksanaan Tabung Perumahan Nasional akan memberi pelbagai manfaat jangka panjang kepada negara. Dari sudut ekonomi, sektor perumahan akan terus berkembang secara seimbang, bukan hanya tertumpu pada pembangunan rumah mewah tetapi juga pada rumah mampu milik. Tambahan pula, tabung ini boleh membantu mengurangkan beban kerajaan dalam jangka masa panjang. Jika belia mempunyai instrumen simpanan dan pembiayaan yang jelas, mereka tidak perlu terlalu bergantung kepada skim subsidi kerajaan.

Sebaliknya, mereka menjadi lebih bertanggungjawab dalam mengurus kewangan peribadi. Namun, penubuhan Tabung Perumahan Nasional sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan kesedaran kolektif. Pendidikan kewangan perumahan perlu dimulakan sejak di bangku sekolah, dengan memberi pendedahan tentang kepentingan menabung, risiko berhutang, dan nilai pemilikan aset. Institusi pengajian tinggi pula boleh memasukkan modul literasi kewangan perumahan sebagai kursus wajib agar graduan celik tentang realiti kos hidup.

Media juga memainkan peranan besar dalam menggerakkan kempen kesedaran tentang kepentingan memiliki rumah perlu diperluas agar belia tidak menganggap pemilikan rumah sebagai “beban hutang”, sebaliknya sebagai jaminan masa depan. Di samping itu, pihak swasta boleh terlibat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyokong dana khas Tabung Perumahan Nasional untuk membantu belia berpendapatan rendah.

Umum melihat kebangkitan sektor ekonomi ketiga seperti zakat dan wakaf juga semakin memberangsangkan. Malah terdapat juga produk-produk seperti rumah zakat, rumah wakaf yang pesat dimajukan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendiami rumah sendiri. Ini secara tidak langsung membantu kerajaan dalam usaha menyediakan perlindungan perumahan yang mampan. Kerjasama bersepadu dari pelbagai pihak memberikan satu keyakinan bahawasanya setiap rakyat Malaysia boleh memiliki rumah kediaman sendiri.

Sudah tentu, setiap dasar baharu akan berdepan cabaran. Risiko spekulasi hartanah juga mesti dikawal agar skim ini tidak dimanipulasi oleh pihak yang mahu mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan mobaliti sosial yang lebih menjamin keharmonian dan kestabilan negara.

Kerajaan perlu memastikan tabung ini benar-benar fokus pada rumah pertama rakyat, bukan menjadi ruang kepada pelabur atau golongan berpendapatan tinggi untuk membina kekayaan melalui pelaburan hartanah kediaman. Ketelusan dalam pentadbiran dan pemantauan yang rapi amat penting bagi menjamin keberkesanan jangka masa panjang.

Pemilikan rumah bukan sekadar soal harta, tetapi lambang kestabilan, maruah, dan identiti dalam masyarakat. Rakyat yang celik pemilikan rumah akan menjadi tonggak kepada masa depan negara yang lebih mapan dan berdaya tahan. Dan tentunya “doktrin” ini perlu bermula seawal usia. Kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Initiatif penubuhan Tabung Perumahan Nasional ini, menjadikan agenda kerajaan untuk membentuk satu ekosistem pemilikan perumahan yang stabil membuatkan rakyat percaya bahawa mereka sentiasa dilindungi.

Seperti mana Tabung Haji dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang berjaya mencapai objektif tabungan masing-masing, Tabung Perumahan Nasional diharapkan dapat memberi peluang kepada rakyat memiliki kediaman pertama ketika wang tabungan yang disimpan mencapai tahap deposit rumah yang ingin dimiliki. Harapan kita, melalui langkah proaktif ini, tiada lagi ungkapan “rumah hanya mimpi” dalam kamus hidup rakyat Malaysia.Semua orang mampu memiliki rumah. Malah rumah bukan lambang kekayaan tapi satu simbol maruah yang perlu dimiliki demi kelangsungan hidup sebagai tempat berteduh.

Penglibatan pempengaruh boleh membantu menyampaikan mesej dengan cara yang lebih menarik dan mudah diterima oleh rakyat khususnya golongan muda. Mereka boleh berkongsi pengalaman peribadi, cabaran, dan tips, supaya timbul kesedaran dan keinginan memiliki rumah sendiri adalah satu kewajipan. Malah memiliki rumah bukan sahaja untuk orang kaya atau mereka yang sudah stabil sahaja, tetapi boleh dicapai secara berperingkat atau perlahan dengan perancangan dan disiplin kewangan.

Seperti pepatah Melayu ada menyebut, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.” Begitu jugalah dengan usaha memiliki rumah kediaman pertama ini. Jika hanya bergantung pada kemampuan individu, mungkin proses ini sukar dan rumit bagi mereka yang berpendapatan rendah. Namun apabila wujud kolobrasi antara kerajaan yang menyediakan peruntukan undang-undang, dasar dan insentif, serta rakyat yang berdisiplin menabung, maka impian memiliki rumah pertama akan menjadi kenyataan. Ekosistem yang menyokong inilah yang menjadi tunjang, kerana pemilikan rumah bukan sekadar urusan peribadi, tetapi lambang kesejahteraan sebuah masyarakat dan kekuatan sebuah negara.

Sr Dr Huraizah Arshad
Sr Dr Siti Nadiah Mohd Ali

Mereka adalah Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah,
Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast