bKUALA LUMPUR – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) komited mencari dana sekurang-kurangnya RM5 juta setahun dalam memastikan bantuan kepada hampir 1,000 anak-anak yatim dan yatim piatu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 tidak terjejas.
Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini, YKM merupakan satu-satunya yayasan di dunia yang membela nasib anak-anak yatim Covid-19 itu dengan memberikan bantuan secara bulanan sehingga mereka mencecah usia 18 tahun atau sehingga tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda pertama.
Beliau yang juga bekas perdana menteri menambah, bermula tahun ini juga, YKM mengubah konsep pemberian bantuan daripada tiga kali setahun kepada bulanan, dalam memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim dan yatim piatu itu terus terjamin.
Jelasnya, kaedah pembayaran bantuan baharu secara bulanan itu melibatkan peningkatan jumlah bantuan keseluruhan sebanyak RM400 kepada RM2,400 bagi Kategori A (sejak lahir sehingga 15 tahun) dan Kategori B (16 tahun sehingga tamat Ijazah Sarjana Muda pertama) dari RM500 kepada RM3,000.
“Sebelum ini, anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima bantuan sebanyak RM2,000 setahun, manakala remaja yang berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan sebanyak RM2,500 setahun,” katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran program Larian Keluarga Malaysia 2025 dan Sukarelawan YKM serta Pemberian Bantuan Menara Gading di sini hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bagi memastikan dana kepada anak-anak yatim dan yatim piatu yang terkesan akibat Covid-19 sentiasa mencukupi, YKM merangka pelbagai program bertujuan mengumpul dana tersebut antaranya Larian Keluarga Malaysia 2025.
Menurut beliau, program itu yang memasuki edisi kedua penganjurannya tahun ini akan diadakan pada 15 November depan di Padang Merbok, di sini dengan bertemakan ‘Berlari Sambil Menyumbang’.
Menurutnya, program itu akan melibatkan tiga kategori iaitu 10 kilometer (Road Race) dengan yuran penyertaan sebanyak RM70; 5km (Fun Run) dengan yuran penyertaan RM50 dan 3km (Family Run) dengan yuran penyertaan sebanyak RM40.
Jelasnyna, kesemua harga yuran penyertaan tersebut adalah harga ‘early bird’ sehingga 7 Oktober ini dengan tambahan diskaun sebanyak 10 peratus lagi jika menggunakan kod ‘SINARLKM10’ atau ‘FMTLKM2025’.
“Program itu turut menyediakan hadiah utama cabutan bertuah sebuah kereta Perodua Axia yang ditaja oleh syarikat Hajoon Sdn Bhd diikuti motosikal Honda RS-X oleh PERODUA dan sebuah skuter elektrik, Felo M One oleh syarikat Good Buy E Vehicles Sdn Bhd,” katanya.
Dalam masa sama, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut mengumumkan penubuhan Sukarelawan YKM yang terdiri daripada anak-anak di bawah jagaan YKM khususnya mahasiswa sebagai penyambung legasi kepada yayasan itu pada masa depan.
Jelasnya, inisiatif itu dilaksanakan bagi menerapkan sikap kepemimpinan dan memupuk semangat ambil peduli dalam diri agar dapat menjadi sumber inspirasi kepada rakan-rakan YKM yang lain.
“Malah mereka akan menjadi mentor kepada adik-adik yang lain dan mereka juga akan dibawa untuk turut sama terlibat dalam program-program yang dianjurkan oleh YKM seperti ziarah kasih di negeri-negeri,” katanya. – MalaysiaGazette
















