GOMBAK – Seorang pelajar baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) yang merupakan Orang Asli dari suku kaum Kuala bersyukur apabila impian dan cita-cita beliau untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di UIAM tercapai.
Muhammad Naufal Adam Mohd Nasir,19, yang berasal dari Kampung Orang Asli Sungai Layau, Kota Tinggi, Johor, telah mendapat anugerah biasiswa penuh universiti sepanjang pengajiannya.
Biasiswa tersebut adalah dari ‘IIUM Academy Scholarship’ yang dianugerahkan kepada pelajar cemerlang terutamanya dari kalangan mereka yang memerlukan bantuan.
Majlis penyerahan anugerah biasiswa tersebut berlangsung sempena Majlis Bai’ah (Ikrar) pelajar baharu UIAM bagi semester 1 2025/26. Penyerahan biasiswa tersebut disempurnakan oleh Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.
Muhammad Naufal yang merupakan anak sulung dari empat orang adik-beradik menunjukkan prestasi dan pencapaian terbilang sewaktu di peringkat asasi dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0.
Ketika ditemui, Muhammad Naufal berasa amat bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerana ia akan menolong beliau melangsungkan cita-cita serta impiannya untuk menjadi seorang doktor.
“Cita-cita saya memang nak jadi doktor. Antara sebabnya ialah memang minat sejak kecil. Sebab lain ialah saya nak tunaikan impian mak ayah saya.”
Muhammad Naufal merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Iskandar Mersing dan telah meraih 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023. Pada 2024 beliau ditawarkan kemasukan ke program Asasi Perubatan UIAM dengan biasiswa penuh sepanjang pengajian selama 1 tahun.
“Saya berharap saya dapat menjadi inspirasi kepada adik-adik dalam menghadapi sebarang cabaran yang perlu dilalui untuk mencapai cita-cita kita walaupun dalam apa-apa bidang sekalipun,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Dekan IIUM Academy, Prof. Madya Dr. Badri Najib Zubir berkata, kejayaan Naufal di peringkat sekolah dan asasi telah membuktikan keupayaan serta kesungguhan beliau yang tinggi.
“Pihak universiti ingin menyokong beliau meneruskan kecemerlangan di peringkat lebih tinggi dan mendokong beliau untuk mencapai cita-cita menjadi seorang doktor”. Katanya.
Tawaran biasiswa tersebut dibuat berdasarkan pencapaian akademik dan latar belakang keluarga penerima. Biasiswa berkenaan meliputi yuran pengajian, penginapan asrama serta elaun sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
Tambah beliau, peluang yang diperoleh Naufal ini bukan sahaja menjadi dorongan buat dirinya, malah turut mencerminkan komitmen UIAM dalam melahirkan pelajar berpotensi tinggi melalui sokongan pendidikan menyeluruh dan melahirkan Ummah cemerlang.
Hadir sama pada majlis penyerahan biasiswa tersebut ialah ibu bapa Muhammad Naufal, jawatankuasa pengurusan tertinggi Universiti(UMC), Dekan IIUM Academy dan para pegawai. -MalaysiaGazette















