SERDANG – Kemalangan jalan raya ketika di Tingkatan 5 membuatkan Kuiek Siew Nie, 19, hilang kaki kanan namun tidak sesekali mematahkan semangat beliau untuk meneruskan hidup dan mencapai kejayaan.
Menurut Siew Nie, kemalangan tersebut merupakan detik paling sukar dalam hidupnya tetapi beliau terus berazam untuk bangkit semula dan menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan cemerlang sehingga diterima masuk ke Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.
Pelajar Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Dengan Kepujian yang berasal dari Gua Musang, Kelantan berkata, beliau perlu tabah meskipun masih perlu berulang-alik ke hospitan untuk mendapatkan rawatan.
“Keluarga saya sanggup berkorban demi menjaga saya. Mereka selalu ingatkan bahawa kekurangan tidak pernah menghalang seseorang untuk berjaya. Kata-kata itu yang membuatkan saya kuat dan bersemangat semula,” katanya.
Anak seorang penoreh getah ini berkata, pengorbanan ayah dan doa ibunya yang tidak pernah putus menjadi sumber utama kekuatan beliau untuk menamatkan SPM pada tahun yang sama, meskipun masih dalam pemulihan akibat kemalangan.
Kisah ketabahan anak keenam dari sembilan beradik ini mendapat perhatian pemimpin negara apabila Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, menyampaikan ucapan tahniah menerusi panggilan video sebelum pendaftaran pelajar baharu sesi 205/2026 di UPM hari ini.
Siew Nie juga meneruma sumbangan bantuan awal pengajian daripada Yayasan Perkasa Siswa, selain inisiatif tambahan daripada UPM bagi meringankan persediaan awal sebelum beliau memulakan pengajian.
Bercita-cita mahu menjadi pegawai pemasaran atau pegawai bank suatu hari nanti, beliau menegaskan cabaran pergerakan tidak pernah menghalang kecemerlangannya dalam akademik.
“Setiap orang mempunyai ujian berbeza. Jadikan cabaran sebagai kekuatan, kerana kesusahan hari ini boleh bertukar menjadi kejayaan esok,” katanya penuh semangat. -MalaysiaGazette
















