KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang wanita berusia 46 tahun yang juga ibu mentua kepada seorang pemain bola sepak kebangsaan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pemalsuan cop pasport dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Gombak baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tangkapan turut membabitkan tiga lelaki warga Pakistan.
Katanya, sebelum serbuan dijalankan, polis terlebih dulu menahan seorang lelaki warga Pakistan dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan kegiatan sindiket terbabit.
“Kes masih dalam siasatan dan pihak berkuasa sedang menjalankan tindakan lanjut bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penahanan itu dibuat susulan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan kes penipuan.
Tambahnya, kesemua suspek kini masih ditahan reman sehingga 8 Oktober 2025 bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette














