MELAKA – Hubungan rapat Perdana Menteri dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memainkan peranan penting memudahkan rundingan dan usaha diplomatik membawa pulang 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ke tanah air.
Pengasas Akademi Kepimpinan Anak Bangsa (AKAB), Afiq Nordin berterima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak tidur lena sejak kumpulan itu ditahan Tentera Israel, Khamis lalu.
“Terima kasih kepada PMX (Anwar) kerana hasil daripada diplomasi dan persahabatan antara negara, khususnya hubungan karib antara beliau dan Erdogan telah menjadikan urusan membawa pulang peserta Sumud Flotilla menjadi lebih mudah.
“Kita juga berharap kepada peserta-peserta dari negara lain yang masih lagi diculik rejim Zionis dapat dibebaskan dan pulang ke negara mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Himpunan dan Perarakan Sumud Flotilla disertai lebih 5,000 peserta yang di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka petang ini.
Perarakan kira-kira pukul 4 petang itu bermula di hadapan Bangunan Stadthuys sebelum berarak secara aman menuju ke Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan sambil membawa sepanduk dan bendera Palestin sebagai tanda sokongan.
Mengulas lanjut, Afiq berkata, himpunan itu bukan bersifat keagamaan atau kepartian sebaliknya manifestasi kemanusiaan sejagat yang menyatukan pelbagai bangsa menentang kezaliman Zionis terhadap rakyat Palestin dan aktivis keamanan dunia.
“Hari ini bukan sekadar perhimpunan solidariti tetapi juga wadah untuk menyampaikan maklumat sebenar mengenai perjuangan kemanusiaan di Gaza serta cabaran yang dihadapi pasukan flotilla di tengah lautan.
“Ramai ingat bila peserta dibawa pulang, isu ini sudah selesai, tapi kita kena ingat bekalan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan masih belum dapat disalurkan ke Gaza,” ujarnya.
Beliau turut berharap usaha meneruskan misi seterusnya melalui Freedom Flotilla akan berjaya menembusi sekatan dan sampai ke bumi Gaza.
Afiq dalam pada itu merakam penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka atas sokongan serta kelulusan penganjuran himpunan tersebut yang berlangsung dengan aman dan tanpa sebarang provokasi. – MalaysiaGazette
















