JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan dua wanita dan seorang selepas disyaki berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di daerah ini semalam.
Menurut JAINJ, ketiga-tiganya yang masih belum berkahwin ditahan selepas penguat kuasa JAINJ melakukan pemeriksaan pukul 2.15 pagi dalam satu operasi.
“Pintu diketuk dan dibuka 5 minit kemudian, seorang lelaki membuka pintu sedikit sahaja. Apabila mengetahui kehadiran penguat kuasa, lelaki berumur sekitar 30 an itu menutup semula pintu.
“Penguat kuasa terus memanggil dan mengetuk pintu dan dibuka 5 minit kemudian.
“Dalam bilik yang sama ditemui dua wanita berumur sekitar 20-an yang berpakaian lengkap di bilik tersebut,” menurut kenyataan tersebut.
Jelas JAINJ, apabila ditanya tujuan berada dalam bilik, lelaki itu memaklumkan dua wanita ini baru saja masuk untuk menumpang tandas kerana tandas stesen minyak berdekatan telah tutup.
Bagaimanapun, alasan tersebut tidak boleh diterima berikutan ketiga-tiga mereka yang beralamat di Johor Bahru dan tiada alasan untuk tidur di hotel.
“Dua wanita ini adalah kawan baik dan mengenali lelaki ini atas urusan kerja. Hotel didaftar atas nama lelaki dan lelaki ini yang mengajak dua wanita ini ke bilik hotel.
“Selepas diperiksa ketiga-tiga mereka ini tiada hubungan mahram dan boleh dikatakan melakukan kesalahan khalwat,” ujar jabatan itu lagi.
Mereka ditangkap atas kesalahan khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette














