Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan tindakan sektor swasta menganjurkan majlis makan malam sempena Global Travel Meet bukan satu kesalahan.

Malah ia membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan, tegasnya.

Menurut beliau, pada peringkat awal, kementeriannya memang menjadi penganjur utama dan memimpin usaha mempromosikan acara tersebut.

“Pada mulanya, ya. Kami merupakan penganjur utama dan menerajui promosi acara itu. Namun seperti yang saya sebutkan semalam, pemain industri dan sektor swasta kemudiannya menyedari mereka sebenarnya boleh memperoleh urus niaga besar semasa Global Travel Meet.

“Menyedari peluang tersebut, mereka secara sukarela menawarkan diri untuk mengambil alih dan menganjurkan majlis makan malam gala itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

King Sing menjelaskan, hasil daripada penglibatan aktif sektor swasta itu, pembeli antarabangsa dan tempatan mula membeli pakej pelancongan dalam jumlah besar dengan jumlah keseluruhan transaksi perniagaan mencecah RM420 juta.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Tourism Malaysia turut mendapatkan persetujuannya berhubung perubahan tersebut dan beliau tidak melihat sebarang masalah mengenainya.

“Saya bersetuju kerana langkah itu membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Saya tidak nampak apa-apa yang salah tentang perkara itu,” ujarnya.

Tambah beliau, apabila pemain industri menyatakan minat untuk menaja dan menganjurkan majlis makan malam itu, kementerian menyambut baik keputusan tersebut.

“Apabila mereka berhasrat untuk menjadi penganjur, kami kata, ‘kami berbesar hati’. Sila teruskan dan ambil peranan utama. Jika mereka sanggup menanggung kos dan membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan, mengapa pula kami tidak harus menyokongnya,” ujarnya.

Baru-baru Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati mendedahkan minuman keras telah dihidangkan dalam satu majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast