Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini kapal Conscience berlayar ke Gaza di Pejabat HQ Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 OKTOBER 2025

SERDANG – Pelayaran misi kemanusiaan flotilla Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) enggan mengambil risiko dengan mengelak untuk tiba di Gaza, Palestin esok.

Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, ia memandangkan tarikh itu genap dua tahun Operasi Taufan Al-Aqsa dilancarkan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.

Jelas beliau, ini kerana Israel berpotensi untuk melakukan serangan ke atas aktivis dan sukarelawan dalam misi tersebut.

“Sudah pasti mereka akan elak sampai ke Gaza pada 7 Oktober yang mana satu tarikh mungkin Israel akan jadikan apa alasan untuk mengambil kesempatan dan menghentam.

“Jadi besar kemungkinan mereka akan cuba elakkan tarikh berkenaan. Sebab itu semalam kapal (menunjukkan) di 0 knot berhenti di situ,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Delegasi Malaysia dalam FFCxTMTGM diketuai MyCARE membawa lapan aktivis tempatan yang belayar di atas kapal Conscience dan seorang lagi delegasi di atas kapal layer Umm Saad.

Memgulas lanjut, Kamarul Zaman menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberikan komitmen sepenuhnya kepada peserta dan segala maklumat turut disampaikan kepada Pejabat Perdana Menteri.

“Jika terjadi apa-apa kebarangkalian, bantuan yang sama akan diberikan sama seperti peserta Global Sumud Flotilla,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sejak 7 Oktober 2023 hingga kini, sebanyak RM27 juta sumbangan daripada rakyat Malaysia telah disalurkan kepada penduduk Gaza.

Sementara itu, Conscience yang merupakan kapal terbesar melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga orang ahli Parlimen, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Mereka seramai 93 perserta dari 22 buah negara telah berlepas dari Porto Otranto, Itali, pada 30 September lepas.

Lapan wakil Malaysia berada dalam kapal iaitu Profesor Emeritus Dr MohdAlauddin Mohd Ali yang juga Ketua Delegasi Malaysia dan tiga doktor perubatan iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.

Dua pensyarah turut serta iaitu Profesor Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Pada masa sama, doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas Kapal Umm Saad bersama tujuh kapal layar lain yang telah berlepas dari Catania di Sicily menuju ke Gaza pada 27 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini melibatkan kira-kira 150 peserta dari 25 buah negara termasuk sembilan orang delegasi Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast