Timbalan Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

 

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik sebarang inisiatif antarabangsa yang dapat menghentikan kekejaman rejim Israel dan membuka ruang kepada penyelesaian aman di Gaza, termasuk pelan damai 20 perkara yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump baru-baru ini.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, antara perkara utama yang diberi perhatian ialah arahan bagi menghentikan serta-merta serangan dan pengeboman terhadap Gaza.

“Antara perkara positif yang kita lihat ialah penekanan terhadap pemberhentian genosid dan kemusnahan, serta pembukaan ruang kepada dunia untuk menyalurkan bantuan ke Gaza. Ini satu perkembangan yang Malaysia ingin lihat dengan positif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang meminta penjelasan mengenai perubahan dasar luar Malaysia selepas Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam berhubung situasi di Gaza dan Palestin.

Beliau menjelaskan, pelan tersebut jika dilaksanakan dengan ikhlas dan menyeluruh sebenarnya berpotensi membawa manfaat besar kepada rakyat Palestin terutama dalam membuka akses bantuan kemanusiaan ke wilayah Gaza yang kini terputus bekalan asas.

Namun, Mohamad Alamin turut mengingatkan masih terdapat beberapa kelemahan dan ruang yang perlu diperhalusi dalam pelan tersebut.

“Kita juga tidak menolak kebimbangan terdapat kelompongan dalam pelan ini. Hamas sendiri menuntut pengunduran total tentera Israel dari Gaza serta hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka sendiri. Isu ini perlu dijelaskan dengan tegas,” tambahnya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan, lawatan Donald Trump ke Malaysia tidak harus disalahtafsir sebagai hubungan dua hala biasa antara Kuala Lumpur dan Washington.

“Malaysia bertindak atas kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN, bukan atas dasar hubungan bilateral semata-mata. Sebagai tuan rumah ASEAN, kita mempunyai tanggungjawab menjemput semua pemimpin termasuk AS tanpa pengecualian selaras dengan prinsip ‘neutrality dan centrality’ ASEAN,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Malaysia akan menggunakan kesempatan kehadiran Trump ke rantau ini bagi memperkukuh suara ASEAN terhadap isu kemanusiaan dan perdamaian sejagat, termasuk membela nasib rakyat Palestin.

“Kita akan manfaatkan setiap ruang pertemuan untuk menyuarakan pendirian Malaysia dan ASEAN agar semua negara, termasuk kuasa besar dunia, bersama menamatkan genosid dan membebaskan Palestin daripada ancaman berterusan,” jelasnya.

Beliau menegaskan, pendirian Malaysia tidak pernah berubah iaitu menyokong sepenuhnya hak rakyat Palestin untuk hidup bebas, merdeka dan berdaulat, serta mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis Israel terhadap penduduk Gaza.

“Perjuangan kita tidak akan berhenti. Kita akan terus bersama rakyat Palestin dalam apa jua forum dan inisiatif yang dapat membawa kepada keamanan sebenar,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast