KUALA LUMPUR – Beberapa aspek dalam pelan damai Gaza terbaharu yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump perlu diteliti dengan lebih mendalam berikutan terdapat beberapa perincian yang masih tidak jelas.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, walaupun Malaysia menyambut baik usaha Trump menerusi pelan damai 20 perkara itu namun wujud kebimbangan dalam kalangan beberapa negara termasuk Malaysia terhadap beberapa kelonggaran dalam pelan berkenaan.
“Saya ingin nyatakan bahawa Malaysia menyambut baik usaha Trump melalui pelan damai Gaza 20 perkara namun kita mahu melihat keamanan yang menyeluruh dan berkekalan malah Hamas sendiri telah menuntut pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza.
“Kita juga percaya bahawa penentuan kenegaraan mesti ditentukan oleh rakyat Palestin sendiri. Malangnya, perkara-perkara ini tidak dijelaskan dengan terperinci dalam pelan berkenaan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Syed Ibrahim Syed Noh (PH–Ledang) yang meminta penjelasan mengenai pendirian Malaysia terhadap pelan damai Gaza 20 perkara yang diumumkan Washington 29 September lalu.
Menurut Mohamad Alamin, pelan tersebut merupakan langkah penting menghentikan segera serangan udara Israel di Gaza serta membuka laluan kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa.
“Dengan pelan ini, kita berharap dapat menyaksikan penghentian serangan, pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan. Paling penting, pelan ini juga membuka jalan kepada masyarakat antarabangsa untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang sebelum ini dihadkan. Atas sebab itu, kita menyambut baik inisiatif ini,” ujarnya.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Hamas telah menerima sebahagian daripada 20 perkara yang terkandung dalam pelan damai yang dicadangkan Trump.
Antara kandungan pelan tersebut termasuk pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas pelan itu diluluskan sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin di penjara Israel.
Selain itu, pelan berkenaan turut menyeru kepada penghentian permusuhan, perlucutan senjata semua kumpulan bersenjata di Gaza serta pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari wilayah itu, yang kemudiannya akan ditadbir oleh sebuah pihak berkuasa teknokratik. – MalaysiaGazette
















