KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita enam buah gudang dan kontena dengan anggaran rampasan sebanyak 17,672 biji tayar susulan operasi menggempur syarikat-syarikat dipercayai terlibat penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import/eksport yang menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai anggaran sekitar RM350 juta sejak tahun 2020 hingga 2025.
Menurut sumber, satu pemeriksaan menyeluruh telah dijalankan ke atas tayar pelbagai jenama di enam buah gudang dan kontena yang telah disita yang melibatkan dua syarikat dan pemeriksaan dilakukan bersama wakil teknikal dari jenama masing-masing seperti Toyo Tires, Yokohama, Bridgestone, Michelin, Pirelli, Continental & Dunlop, Maxxis serta disertai pihak KPDN, SIRIM, dan SPRM.
“Tujuan pemeriksaan ini bagi mengenal pasti ketulenan tayar yang dijual dan disimpan di pasaran tempatan mengesahkan pematuhan kepada piawaian keselamatan (DOT, TOT, E-Mark, CCC, SIRIM), mengesan penjualan tayar melalui saluran tidak sah atau tidak berdaftar serta menilai risiko keselamatan tayar kepada pengguna.
“Hasil daripada pemeriksaan tersebut mendapati terdapat penipuan label, pengenyah bar code, pembelian menerusi pengedar tidak sah, tayar tidak didaftarkan, penyeludupan atau import tidak sah dan boleh menyebabkan keselamatan pengguna mengalami risiko berbahaya, ” kata sumber.
Sehingga kini, SPRM telah membekukan akaun bank persendirian, serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM70 juta.
Selain itu, beberapa aset telah disita yang disyaki telah diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram iaitu enam lot tanah yang dijadikan tapak untuk gudang/kontena bernilai RM4.5 juta, dua unit rumah teres dua tingkat dengan nilai anggaran RM2 juta, satu unit rumah jenis town house dengan nilai anggaran RM2 juta dan satu unit rumah kedai empat tingkat bernilai RM4 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin Ketika dihubungi mengesahkan mengenai maklumat berkenaan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – MalaysiaGazette
















