KUALA LUMPUR – Tujuh individu ditahan kerana didakwa memuat naik hantaran berunsur penghinaan serta ugutan terhadap pemimpn negara dan kerajaan termasuk isu subsidi minyak di aplikasi Tiktok dan Facebook.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkejal (USJT) Bahagian D5, telah menjalankan siasatan ke atas tujuh video tular di media sosial itu antara 17 September hingga semalam.
“Kes pertama melibatkan seorang lelaki menggunakan akaun Tiktok @zollpatv membuat komen berbaur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.
“Seterusnya seorang lelaki menggunakan akaun Tiktok @japajafaruddinshop memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap pemimpin negara berkait isu subsidi minyak serta menimbulkan kegentaran awam.
“Turut dikesan seorang lelaki menggunakan akaun Facebook Vincent Naidu memuat naik hantaran berunsur hasutan dan serta kenyataan mengaibkan terhadap pihak tertentu.
“Kita juga mengesan empat lelaki di akaun Tiktok @saya_alif5, @Hona Kia 53, @k_a_m_i_l_290 dan @tokgompo dikesan membuat hantaran berkait penghinaan terhadap pemimpin dan kenyataan mengaibkan” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b), Seksyen 504 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kesemua suspek ditangkap secara berasingan dan mahkamah telah membenarkan reman selama sehari hingga tiga hari bagi membantu siasatan.
“Hasil semakan mendapati salah seorang suspek berusia 40-an mempunyai 19 rekod lampau berkait kesalahan dadah manakala seorang lagi berumr 60-an pernah disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” ujarnya.
Tegas beliau, polis memberi amaran terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial atau kandungan digital yang boleh menimbulkan hasutan, ugutan, penghinaan atau kegentaran awam tidak akan dikompromi sama sekali.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak atau individu yang melakukan perbuatan sedemikian, mengikut peruntukkan undang-undang berkuat kuasa.
“Orang ramai juga dinasihat agar sentiasa berhemah, berdisplin dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkongsian di platform media sosial bagi mengelak tindakan undang-undang serta memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette
















