Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan mendengar sesi taklimat ketika sesi lawatan untuk mengetahui situasi terkini kapal Conscience ke Gaza misi Freedom Flotilla di Pejabat HQ MyCARE, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 OKTOBER 2025

SERDANG – Misi kemanusiaan flotilla Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) dijangka memasuki zon merah pukul 5.00 petang esok waktu Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, ini kerana kesemua kapal sedang bergerak pada kelajuan knot 4.00 dan telah memasuki 200 batu nautika iaitu zon kuning dari perairan pantai Gaza.

Menurutnya, situasi terkini itu dijangka membolehkan misi yang membabitkan sembilan kapal termasuk kapal utama, Conscience dan kapal pelayaran, Umm Saad tiba di Gaza sebelum Jumaat ini.

“Kesemua kapal telah bergerak pada kelajuan knot 4.00 dan telah memasuki 200 batu nautika dari perairan Pantai Gaza.

“Kapal Conscience mula bergerak pada pukul 9.30 pagi tadi waktu Malaysia dan lapan kapal yang lain bergerak pukul 1.00 pagi,” katanya pada media di Ibu Pejabat MyCARE di sini hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan berinteraksi secara maya dengan Professor Emeritus Dr Mohd
Alauddin Mohd Ali berhubung situasi terkini kapal Conscience ke Gaza misi Freedom Flotilla di Pejabat
HQ MyCARE, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 OKTOBER 2025

Turut berlangsung, panggilan video secara langsung bersama delegasi Malaysia yang menyertai misi FFCxTMTG bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Ketika ini, delegasi Malaysia dalam misi FFCxTMTGM diketuai oleh MyCARE dengan membawa lapan aktivis tempatan yang belayar di atas kapal Conscience dan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman menambah, Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali melaporkan kesemua delegasi kapal telah sebulat suara untuk bertemu dalam satu garis masa dijangka di 150 batu nautika.

Kata beliau, mereka kini bersiap sedia dengan apa berkemungkinan untuk berdepan dengan insiden dipintas dan penahanan oleh tentera Israel.

Sementara itu, Zulkifli berharap rakyat Malaysia tidak mengira agama, warna kulit dan ideologi untuk bersama memberikan sokongan terhadap Palestin.

Beliau berkata, ia adalah isu kemanusiaan dan sangat jelas badan antarabangsa mengisytiharkan ini genosid dan perlu bersatu menghentikan kekejaman jenayah.

“Ayuh seluruh rakyat Malaysia berhimpun di Axiata Arena, Bukit Jalil malam esok bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin bersama-sama sukarelawan negara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang selamat pulang ke tanah air selepas ditahan oleh Israel baru-baru ini,” katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan bercakap pada sidang media berhubung situasi terkini kapal Conscience ke Gaza misi Freedom Flotilla di Pejabat
HQ MyCARE, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 OKTOBER 2025

Sementara itu, dalam misi FFCxTMTGM, Conscience yang merupakan kapal terbesar melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga orang ahli Parlimen, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Mereka seramai 93 peserta dari 22 buah negara telah berlepas dari Porto Otranto, Itali, pada 30 September lalu.

Lapan wakil Malaysia berada dalam kapal iaitu Profesor Emeritus Dr MohdAlauddin Mohd Ali yang juga Ketua Delegasi Malaysia dan tiga doktor perubatan iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.

Dua pensyarah turut serta iaitu Profesor Dr Mohd Afandi Salleh dan DrNoorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Pada masa sama, doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas Kapal Umm Saad bersama tujuh kapal layar lain yang telah berlepas dari Catania di Sicily menuju ke Gaza pada 27 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini melibatkan kira-kira 150 peserta dari 25 buah negara termasuk sembilan orang delegasi Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast