SEPANG – Lebih 100 penyokong berkumpul bagi menyambut kepulangan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.
Suasana mula sesak bermula pukul 8.00 malam dengan sesekali laungan ‘Bebaskan Palestin’ bergema sambil mereka mengibarkan bendera negara itu dan memegang sepanduk solidariti.
Pihak polis juga dilihat berada di lokasi sebagai langkah keselamatan serta kawalan orang ramai bagi memastikan kelancaran pergerakan di terminal.
Sementara itu, 23 sukarelawan itu berlepas dari Lapangan Terbang Istanbul pada jam 11.20 malam waktu Turkiye (4.20 pagi waktu Malaysia) menaiki pesawat Emirates.
Kepulangan kesemua sukarelawan itu akhirnya menamatkan ketegangan selepas mereka ditahan oleh pasukan keselamatan Israel pada 2 Oktober lalu di perairan Gaza.
Namun kesemua mereka dibebaskan dan diterbangkan ke Istanbul hasil usaha diplomatik kerajaan.
Semua sukarelawan Malaysia itu ditahan pihak berkuasa Israel, Khamis lalu sebelum dibawa ke penjara Ketziot, yang terletak di padang pasir Negev.
Mereka sebelum ini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel baru-baru ini, menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dari Eilat, Israel pada 1.40 tengah hari waktu tempatan dan tiba di Istanbul, Turkiye pada 3.40 petang waktu tempatan.
Antara yang ditahan ialah penyanyi Nur Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah Helmi, Norfarahin Romli (Farah Lee), Nur Fazelah Mad Tahil (Zizi Kirana), Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat) dan Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana). – MalaysiaGazette
















